PRK Nenggiri 17 Ogos depan

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun (kanan) mengumumkan tarikh penting PRK DUN Nenggiri pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR, Putrajaya di sini pada Jumaat.
Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun (kanan) mengumumkan tarikh penting PRK DUN Nenggiri pada sidang akhbar di ibu pejabat SPR, Putrajaya di sini pada Jumaat.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan diadakan pada 17 Ogos depan.

Ia berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 3 Ogos manakala hari mengundi awal pula 13 Ogos.

Dengan itu, tempoh berkempen adalah selama 14 hari bermula penamaan calon sehingga jam 11.59 malam 16 Ogos.

"Urusan permohonan semua kategori undi pos luar dan dalam negara dibuka bermula hari ini (Jumaat)," katanya menerusi sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Menurutnya, tarikh tutup permohonan undi pos bagi kategori 1A adalah pada 30 Julai sementara kategori 1B dan 1C ditetapkan pada 23 Julai.

Kategori 1A adalah petugas pilihan raya, anggota dan pegawai SPR serta petugas media.

Rakyat Malaysia yang berada di luar negara merupakan kategori 1B dan 1C pula adalah agensi dan organisasi.

Artikel Berkaitan:

Ujar Ramlan, PRK Nenggiri yang menyaksikan seramai 20,259 daftar pemilih bakal membuat pilihan memerlukan peruntukan sebanyak RM1.6 juta.

"Seramai 431 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Nenggiri dengan 20 pusat pengundian dan 46 saluran diadakan," jelasnya.

Tambah beliau, Dewan Perdana, Kompleks Perdana Majlis Daerah Gua Musang dijadikan sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan rasmi undi.

Mohd Azizi yang juga Ahli Parlimen Gua Musang gagal menghentikan proses PRK Nenggiri selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis, menolak permohonan injunksi sementara dalam saman pemula yang difailkan, Isnin lalu.

Pada 13 Jun, Speaker DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri setelah menerima notis bertulis mengikut fasal (3) Perkara 31A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan mengenai keahlian Mohd Azizi yang hilang daripada parti.

Sewaktu Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu, Mohd Azizi yang bertanding tiket Pas menang majoriti 810 undi apabila mendapat 6,517 undi.

Calon BN, Ab Aziz Yusoff memperolehi 5,707 undi.

Mohd Azizi menerusi kenyataan di laman Facebooknya pada 7 November 2023 mengisytiharkan sokongan penuh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas alasan untuk memastikan kebajikan penduduk terbela dan akan terus mendapat pelbagai manfaat termasuk peningkatan kemudahan infrastruktur sebagaimana yang dimohon untuk kawasan Parlimen berkenaan dalam tempoh perkhidmatannya.

Beliau menjadi Ahli Parlimen Bersatu yang ketiga menyatakan sokongan secara terbuka kepada Anwar.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, diikuti Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman mengambil tindakan sama.

Turut mengambil langkah sama, ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) ; Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Zahari Kechik (Jeli).

ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari turut mengumumkan memberi sokongan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada Mac lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!