Penuntut UPM dipatuk ular kapak ketika daki Gunung Tahan
LIPIS - [DIKEMAS KINI] Pendakian sekumpulan penuntut Universiti Putra Malaysia (UPM) di Gunung Tahan bertukar detik cemas selepas seorang daripada mereka dipatuk ular kapak, dekat Kem Botak pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, mangsa, Siti Nuraqilah Azmi, 20, dipatuk di tangan kiri ketika sedang mandi.
"Aktiviti pendakian Gunung Tahan itu disertai 36 penuntut dan tiga staff UPM dibantu dua malim Gunung serta empat petugas Perhilitan.
"Pendakian bermula Selasa lalu dan dijangka akan selesai pada Sabtu dan pada jam 6.15 petang, semasa pengadu iaitu petugas Perhilitan berada di Taman Negara Sungai Relau telah menerima maklumat kejadian menimpa mangsa dipatuk ular dipercayai dari jenis ular berbisa," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ujar beliau, memandangkan waktu dan jarak perjalanan untuk sampai ke lokasi kejadian sangat jauh mengambil masa kira-kira 10 jam pendakian, operasi menyelamat dilakukan pada Jumaat menggunakan helikopter bomba.
"Mangsa telah selamat sampai di Hospital Kuala Lipis kira-kira jam 10.20 pagi bagi menjalani rawatan dan pemeriksaan lanjut," katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 6.15 petang.
"Dua anggota Moscar Merapuh di Kem Kor diarahkan ke lokasi kejadian selain membuat permohonan bantuan pesawat udara.
"Pada 8.15 pagi ini (Jumaat), bantuan pesawat udara bomba dari Pengkalan Udara Wilayah Utara telah digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan lima krew," katanya.
Ujar beliau, pesawat berjaya tiba di lokasi kejadian untuk mengambil mangsa dan dibawa ke Bukit Bius, Lipis pada 9.55 pagi.
Jelasnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke Hospital Kuala Lipis bagi rawatan lanjut.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!