Slovakia tak takut status England
BIARPUN hadir ke Jerman sebagai pasukan bukan pilihan, Slovakia melaungkan amaran tidak takut untuk berdepan skuad gergasi, England dalam aksi kalah mati Euro 2024 pada Isnin.
Pemain tengah Slovakia, Ondrej Duda mengakui The Three Lions sebuah pasukan hebat, namun tiada yang mustahil sebarang kejutan boleh berlaku.
“Pasukan Inggeris mempunyai kualiti tetapi setiap lawan yang mereka temui setakat ini sebenarnya mampu menumpaskan England.
“Jadi, kami tak gentar kerana mereka tidak sekuat mana,” katanya.
England mara ke pusingan 16 selepas terikat tanpa jaringan dengan Slovenia pada Rabu lalu.
Walaupun mempamerkan prestasi hambar dalam Kumpulan C, Three Lions menghuni tangga teratas dengan lima mata.
Mereka akan menentang Slovakia pada peringkat kalah mati selepas pasukan yang menduduki ranking ke-45 dunia itu menduduki tangga ketiga Kumpulan E.
Seorang lagi pemain Slovakia, Stanislav Lobotka turut melahirkan keyakinan dengan kemampuan pasukannya.
“Layak ke pusingan kalah mati amat menakjubkan. Kami berjaya melakukannya dan saya gembira dengan cara kami beraksi. Kami tidak akan terhenti di situ dan akan cuba mara lebih jauh,” katanya.
Slovakia akan berdepan England dalam aksi pusingan 16 terbaik di Arena AufSchalke, Gelsenkirchen pada Isnin.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!