[VIDEO] Tok Pa sahkan tidak bertanding

A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam mana-mana pilihan raya kerana memutuskan untuk 'pencen' daripada politik.

Jelas bekas Ahli Parlimen Jeli yang turut mesra dengan panggilan Tok Pa itu, keahlian dan jawatannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) juga telah dilepaskan sejak September tahun lalu.

"Merujuk kepada kenyataan Datuk Kamaruddin Mohd Nor, Pengerusi Bersatu Kelantan seperti yang dilaporkan oleh sebuah portal mengenai calon pilihan raya di dua kawasan di Kelantan iaitu Parlimen Jeli dan Parlimen Gua Musang.

"Saya ingin memaklumkan bahawa saya telahpun meletakkan jawatan sebagai ahli dan semua jawatan dalam parti Bersatu pada 30 September 2023.

"Saya mengulangi sekali lagi kenyataan yang dikeluarkan pada 2 November 2022 bahawa saya sudah ‘pencen’ daripada politik apabila membuat keputusan untuk tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

MUSTAPA
MUSTAPA

Sebuah portal berita pada Khamis melaporkan, Bersatu Kelantan sedia memberi laluan kepada ahli politik berpengaruh, termasuk Tan Sri Annuar Musa dan Mustapa bertanding di Parlimen Gua Musang serta Jeli, jika pilihan raya kecil (PRK) diadakan kelak.

Menurut Kamaruddin, langkah menghantar dua ahli politik itu ke Dewan Rakyat bagaimanapun perlu mendapat persetujuan pucuk pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) terlebih dahulu.

Artikel Berkaitan:

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Jumaat menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N43 Nenggiri, Kelantan diadakan pada 17 Ogos depan.

Ia berikutan berlaku kekosongan luar jangka selepas penyandangnya, Mohd Azizi Abu Naim diisytiharkan hilang keahlian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Jun lalu.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun memaklumkan penamaan calon pula ditetapkan pada 3 Ogos.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis menolak permohonan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Azizi Abu Naim, yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, mendapatkan injunksi sementara untuk menghentikan PRK bagi kerusi DUN itu.

Selain Azizi, lima Ahli Parlimen yang turut dihentikan keahlian Bersatu kerana menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Zahari Kechik (Jeli), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Adun Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari pula menyokong Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!