Wang simpanan RM177,700 lesap diperdaya 'pegawai kementerian, polis'

Seorang lelaki warga emas kerugian RM177,700 selepas terpedaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Komunikasi dan polis.Gambar hiasan
Seorang lelaki warga emas kerugian RM177,700 selepas terpedaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Komunikasi dan polis.Gambar hiasan
A
A
A

TAIPING - Seorang lelaki warga emas kerugian RM177,700 selepas terpedaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai Kementerian Komunikasi dan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa berusia 72 tahun yang merupakan pegawai khidmat masyarakat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menerima panggilan daripada suspek pada 12 Jun lalu.

Mohd Yusri
Mohd Yusri

"Suspek yang menyamar dari kementerian berkenaan menyatakan mangsa perlu pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh kerana akaunnya terlibat dengan aktiviti pengubahan wang haram.

"Mangsa menafikan terlibat dengan kegiatan itu menyebabkan talian panggilan disambungkan kepada suspek kedua yang menyamar polis," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurut beliau, suspek kedua memujuk akan membantu mangsa dengan perlu menyerahkan butiran akaun bank termasuk kata laluan sekali (OTP).

"Suspek memaklumkan akan memindahkan wang dari akaun mangsa dan memberi jaminan bahawa wang tersebut akan dikembalikan selepas siasatan selesai.

"Mangsa yang dalam keadaan ketakutan dan cemas menuruti permintaan suspek tersebut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yusri berkata, mangsa menyedari ditipu selepas semakan di sebuah bank mendapati wang simpanannya berkurangan.

"Terdapat lima transaksi mencurigakan telah dipindahkan ke lima akaun berbeza.

"Mangsa cuba menghubungi suspek kedua namun gagal dan terus membuat laporan polis pada jam 11.59 pagi pada Khamis," katanya.

Tambah beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!