Dua saintis muda wakili Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate ke-73

Lih Kang
Lih Kang
A
A
A

SHAH ALAM - Dua saintis muda akan mewakili Malaysia ke Mesyuarat Nobel Laureate ke-73 yang didedikasikan untuk Fizik di Lindau, Jerman bermula 30 Jun hingga 5 Julai ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, saintis muda negara yang terpilih ialah Nur Alia Sheh Omar, 33, dan Tang Jia Heak, 21.

Menurutnya, kedua-duanya akan menyertai lebih 600 saintis muda cemerlang lain dari 90 negara dan akan berinteraksi serta bertemu dengan sekurang-kurangnya 30 pemenang Anugerah Nobel.

"Penyertaan wakil Malaysia dalam inisiatif sains dan teknologi di peringkat global adalah penting, bukan sahaja untuk meningkatkan kedudukan Malaysia di peringkat antarabangsa, tetapi juga dapat membawa pulang amalan dan pemahaman terkini ke Malaysia.

"Ini membolehkan kita memperkasa kebolehan tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai negara dengan ekonomi berasaskan pengetahuan, penting bagi pertumbuhan yang lebih berdaya saing dan mampan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Lih Kang, sejak 2004, Malaysia telah menghantar 86 saintis muda, termasuk wakil pada tahun ini ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM).

Pada Oktober lalu, Jawatankuasa Pemilihan ASM untuk Mesyuarat Nobel Laureate ke-73 telah mengadakan sesi temuduga bagi menilai pemohon untuk tahun ini dengan 13 calon telah disenarai pendek dan disokong oleh Jawatankuasa Pemandu Anugerah dan dua wakil telah dipilih bagi mewakili Malaysia.

Mesyuarat Nobel Laureate ke-73 akan memberi tumpuan kepada tiga tema utama iaitu fizik kuantum dan teknologi kuantum, penyelesaian berasaskan fizik untuk cabaran tenaga dan kecerdasan buatan dalam fizik.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat itu bakal menawarkan peluang unik kepada kesemua saintis di peringkat awal kerjaya yang cemerlang untuk membentangkan penyelidikan mereka, saling bertukar pengalaman dan idea serta mendapatkan inspirasi daripada rakan sebaya dan Pemenang Anugerah Nobel.

Sementara itu, Nur Alia yang merupakan Felo Penyelidik di Aston University, United Kingdom menzahirkan rasa syukur kerana terpilih untuk mewakili Malaysia dan universitinya untuk ke Mesyuarat Nobel Laureate Lindau kali ini.

"Saya amat teruja untuk bertemu dan belajar daripada pemenang Anugerah Nobel dalam bidang Fizik serta saintis muda dari seluruh dunia.

"Saya berharap dapat meluaskan pandangan serta pengetahuan dan pulang dengan inspirasi dan idea baharu," katanya yang telah menamatkan Ijazah Sarjana Muda Fizik dan Ijazah Sarjana Sains Bahan Lanjutan diikuti dengan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Teknologi Penderiaan di Universiti Putra Malaysia.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!