Pekerja ladang dihukum gantung bunuh adik kandung

Pekerja ladang dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat atas pertuduhan membunuh adik kandungnya empat tahun lalu. Gambar hiasan
Pekerja ladang dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat atas pertuduhan membunuh adik kandungnya empat tahun lalu. Gambar hiasan
A
A
A

SEREMBAN - Pekerja ladang dijatuhi hukuman gantung oleh Mahkamah Tinggi di sini, pada Jumaat atas pertuduhan membunuh adik kandungnya empat tahun lalu.

Hakim, Datuk Rohani Ismail membuat keputusan itu terhadap K Paramasivam, 49, selepas mendengar rayuan mitigasi pihak pembelaan dan hujah pemberat daripada pihak pendakwaan.

Beliau memutuskan tertuduh dijatuhkan hukuman gantung pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan kelak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian seorang lelaki yang ketika kejadian berusia 44 tahun.

Kesalahan itu dilakukan pada 8 Jun 2020 antara jam 11 pagi hingga 1 tengah hari di sebuah ladang kelapa sawit dekat Rantau, di Seremban.

Berikutan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sebelum itu peguam, Raftfizi Zainal Abidin mewakili tertuduh memaklumkan yang anak guamnya telah menyesal atas apa yang berlaku dan ini merupakan kesalahan jenayah pertama dilakukannya.

"Memandangkan bahawa hukuman 302 Kanun Keseksaan adalah budi bicara mahkamah, saya percaya hukuman penjara yang akan dijatuhkan agak lama boleh beri pengajaran besar kepada tertuduh.

Artikel Berkaitan:

"Saya cuma mohon untuk satu hukuman penjara ikut budi bicara iaitu 30 tahun," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ala'uddin Baharom berkata, mahkamah diharap dapat membuat pertimbangan sewajarnya dalam kes itu kerana ia merupakan pembunuhan melibatkan keluarga.

Ini kerana katanya, tindakan meragut nyawa ini bukan satu perkara boleh dipandang ringan dan si mati pula merupakan adik kandung kepada tertuduh.

Jelasnya, apa yang berlaku merupakan perbuatan jenayah terancang dan kejam.

"Saya mohon hukuman mati kepada tertuduh dan hukuman penjara tidak layak untuk tertuduh kerana mangsa merupakan adik kandungnya," katanya.

Seramai 21 saksi dipanggil sepanjang tempoh perbicaraan kes sejak 3 April tahun lalu.

Pada 11 Jun 2020, Sinar Harian melaporkan penemuan mayat mangsa yang lengkap berpakaian ditemui orang awam pada jam 12.45 tengah hari.

Bagaimanapun tiada sebarang senjata ditemui di tempat kejadian.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!