Lepas ikan asing: Penganjur jamin pasang jaring pada laluan air keluar
SHAH ALAM - Penganjur Pertandingan Memancing Parlimen Selayang @ Tasik Biru memberi jaminan akan memasang jaring pada laluan air keluar bagi mengelakkan ikan asing terlepas ke perairan umum susulan tular video memaparkan terdapat pihak melepaskan ikan patin Chao Praya ke Tasik Biru, Kundang, Rawang, Selangor baru-baru ini.
Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) menerusi satu kenyataan memaklumkan, jaminan itu diberi kepada Jabatan Perikanan Negeri Selangor selepas mengadakan pertemuan bersama pihak pengurus dan penganjur program berkenaan.
"Penganjur memaklumkan ikan-ikan tersebut dilepaskan bagi program Pertandingan Memancing Parlimen Selayang @ Tasik Biru yang akan diadakan pada 29 Jun 2024.
"Pihak penganjur juga mengakui kekhilafan dan berjanji akan membuat tindakan pembaikan dengan menyalurkan maklumat berkaitan larangan pelepasan ikan asing kepada pengunjung program.
"Selain itu, mereka turut memberi peringatan kepada peserta memancing untuk tidak melepaskan semula hasil tangkapan ikan asing ke dalam tasik atau sumber air sama ada semasa atau selepas program," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebelum ini, tular hantaran Facebook dimuat naik oleh Jorankl bertarikh 26 Jun lalu menunjukkan terdapat pihak melepaskan ikan patin Chao Praya iaitu spesis ikan asing ke tasik berkenaan.
DOF dalam masa sama turut mengingatkan orang awam atau mana-mana pihak untuk tidak melepaskan anak-anak ikan atau ikan-ikan yang tergolong dalam ketegori ikan pemangsa dan juga dikenali sebagai 'alien spesies' sewenang-wenangnya ke perairan umum, sungai atau tasik.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!