FAMA Fest pacu pertumbuhan ekonomi

Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri (dua dari kiri) menyantuni seorang pengunjung membeli sayur-sayuran menerusi mesin layan diri yang disediakan di tapak FAMA Fest 2024 @ Negeri Sembilan.
Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri (dua dari kiri) menyantuni seorang pengunjung membeli sayur-sayuran menerusi mesin layan diri yang disediakan di tapak FAMA Fest 2024 @ Negeri Sembilan.
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melancarkan program ‘Fruit, Flower & Food Fiesta’ (FAMA Fest) telah memacu pertumbuhan ekonomi tempatan dengan meningkatkan pendapatan usahawan.

Mula dilaksanakan sejak 2017, FAMA Fest telah memberikan manfaat kepada pelbagai pihak, khususnya rakyat yang menikmati penjimatan harga sebanyak lima hingga 30 peratus barangan keperluan.

“Program ini telah membantu dalam pemulihan ekonomi setempat dan memberikan impak yang besar menerusi program padanan perniagaan melibatkan ejen-ejen antarabangsa serta tempatan.

“Menerusi padanan dan pengaturan perniagaan, ia membuka peluang kepada usahawan tempatan memasarkan produk mereka ke pasaran yang lebih besar,” kata FAMA dalam satu kenyataan.

Pada masa sama, FAMA Fest juga menjadi medan kepada komuniti tempatan bekerjasama mempromosi dan menyokong produk-produk tempatan, sekali gus mencipta identiti unik di kawasan masing-masing.

Berdasarkan sambutan yang positif sejak tujuh tahun penganjurannya, FAMA Fest memperlihatkan keselarian objektifnya yang dirangka khusus untuk mempromosikan produk agromakanan dan industri asas tani tempatan.

“Ia juga mewujudkan rangkaian pemasaran produk agromakanan, sekali gus memberikan manfaat dengan meningkatkan hasil pendapatan golongan sasar melibatkan usahawan, petani, penternak, peruncit, pemborong dan pengeksport,” jelas FAMA lagi.

Kluster dan peluasan program

Artikel Berkaitan:

Meningkatkan prospek dan potensi jualan, FAMA Fest 2024 menampilkan tujuh kluster program yang merangkumi Jualan Agro MADANI (JAM), Industri Makanan Asas Tani (IMAT), Kebuniti dan MyGAP, Coffee Corner (Kopiesatu), Florikultur, Empayar Makanan dan Food Truck.

JAM melibatkan aktiviti jualan produk jualan buah-buahan, sayur-sayuran telur dan Kombo Madani, manakala IMAT melibatkan jualan dalam kalangan usahawan industri asas tani.

Sementara itu, kluster Empayar Makanan dan Jualan Food Truck melibatkan penyertaan jualan oleh pengusaha makanan mengikut cita rasa terkini mahu pun tradisional.

Selain itu, kluster Florikultur melibatkan jualan pelbagai variasi bunga dan anak pokok, sekali gus menggalakkan orang ramai bercucuk tanam dan menghasilkan sumber makanan sendiri.

Tahun ini FAMA Fest telah dianjurkan di beberapa negeri iaitu di Negeri Sembilan, Perak dan Sarawak.

Malah, penganjurannya akan diperluaskan di Berjaya Mega Mall, Kuantan, Pahang pada 19 hingga 22 Julai ini, diikuti di RTC Kelantan, Kota Bharu (24 hingga 27 Julai), My Town Cheras, Kuala Lumpur (25 hingga 27 Julai) dan di pusat beli-belah ITCC, Penampang, Sabah pada 30 Ogos hingga 1 September ini.

“FAMA mengunjurkan nilai jualan RM7.85 juta, melibatkan penyertaan 755 usahawan dengan kehadiran 500,000 orang pengunjung,” jelas FAMA dalam kenyataan yang sama.

FAMA Fest 2024 @ Selangor

Terdekat ini, orang ramai berpeluang mendapatkan pelbagai produk makanan dengan harga menarik sempena penganjuran FAMA Fest 2024 @ Selangor yang akan berlangsung di Tapak Parkir Pusat Membeli-belah AEON Bukit Tinggi, Klang pada 27 hingga 30 Jun ini.

Berlangsung selama empat hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, FAMA Fest 2024 @ Selangor menampilkan penglibatan 142 usahawan dengan sasaran 50,000 pengunjung dengan nilai jualan sebanyak RM750,000.

Dimeriahkan dengan tujuh kluster program, FAMA Fest 2024 @ Selangor yang akan dirasmikan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 29 Jun ini meletakkan empat sasaran penganjurannya iaitu meningkatkan pendapatan usahawan, mempercepatkan pemulihan ekonomi negara, meningkatkan pemahaman serta kesedaran pengguna terhadap produk tempatan dan meningkatkan hubungan di antara komuniti tempatan.

Malah, FAMA Fest 2024 @ Selangor turut menampilkan pelbagai pengisian program menarik antaranya padanan perniagaan (business matching), kursus teknologi tanaman rock melon dan perkongsian bersama agropeneur muda dan banyak lagi.

Pada 2023, FAMA Fest telah diadakan di tujuh negeri iaitu Perak, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak melibatkan 532 usahawan, 283,000 pengunjung dan nilai jualan sebanyak RM4.3 juta.

Sejak tahun 2017 hingga 2023, penganjuran FAMA Fest mencatatkan kehadiran 2.19 juta pengunjung dan penyertaan 2,180 usahawan dengan nilai jualan RM24.149 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!