Dua lelaki Colombia didakwa pecah rumah ahli perniagaan, curi barangan RM7 juta

Dua lelaki warga Colombia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat atas pertuduhan memecah masuk sebuah rumah seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' dan mencuri barang bernilai RM7 juta di kediaman itu, bulan lepas.
Dua lelaki warga Colombia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada Jumaat atas pertuduhan memecah masuk sebuah rumah seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk' dan mencuri barang bernilai RM7 juta di kediaman itu, bulan lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Dua lelaki warga Colombia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan melakukan pecah rumah membabitkan nilai RM7 juta, hujung Mei lalu.

Yeyson Andres Rocha Garzon, 39, dan Julian David Serna Pena, 22, yang juga penganggur membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Inggeris, di hadapan Hakim, Dr Azrol Abdullah.

Mengikut pertuduhan, dua lelaki Amerika Latin ini bersama-sama individu yang bebas, didakwa melakukan pecah rumah milik ahli perniagaan berusia 45 tahun dan mencuri barangan bernilai RM7 juta di rumah mangsa, di Jalan Setia Murni, Bukit Damansara di sini pada jam 10 malam, 31 Mei lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan dibacakan bawah Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman, penjara selama lima tahun dan boleh dikenakan denda.

Jika kesalahan yang dimaksudkan ialah mencuri, maka tempoh penjara boleh dilanjutkan sehingga 14 tahun manakala kesalahan kali kedua atau seterusnya, bolehlah juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf tidak menawarkan ikat jamin kepada dua tertuduh ini kerana mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Sementara itu, peguam, Datuk Wan Azmir Wan Majid yang mewakili kedua-dua lelaki terbabit berkata, pembelaan akan menghantar representasi berhubung kes terbabit.

"Kami mohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan semula kes, serentak dengan permohonan representasi ini," katanya yang turut diwakili peguam, Yasmin Khalid.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 5 Ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pada Khamis, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tujuh suspek dan seorang lagi individu (warga Amerika Latin) yang berada di negara jiran, ditangkap bagi membantu siasatan kes pecah rumah membabitkan kerugian juta ringgit, pada 31 Mei lalu.

Menurutnya, semua suspek itu ialah empat lelaki Amerika Latin, dua warga asing yang tidak dapat dikenal pasti dan dua wanita tempatan.

Menurutnya, polis menerima laporan pada jam 11.34 malam, 31 Mei lalu, daripada seorang lelaki warga tempatan menyatakan rumahnya di Bukit Damansara, di sini dipecah masuk dan dia mengalami kerugian berjumlah RM7 juta.

Kejadian disedari mangsa, setelah pulang dari keluar makan jam 10 malam.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!