Harga eksport Malaysia naik 0.7 peratus pada Mei 2024 - DOSM

Harga eksport Malaysia pada Mei 2024 meningkat 0.7 peratus daripada 149.2 mata pada bulan sebelumnya kepada 150.3 mata (2010=100). Gambar hiasan
Harga eksport Malaysia pada Mei 2024 meningkat 0.7 peratus daripada 149.2 mata pada bulan sebelumnya kepada 150.3 mata (2010=100). Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Harga eksport Malaysia pada Mei 2024 meningkat 0.7 peratus daripada 149.2 mata pada bulan sebelumnya kepada 150.3 mata (2010=100), kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Dalam laporan Indeks Perdagangan Luar Mei 2024 yang dikeluarkan pada Jumaat, DOSM berkata, terma perdagangan Malaysia juga meningkat sebanyak 0.7 peratus bulan ke bulan kepada 114.8 mata.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Sri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport naik pada Mei 2024 berbanding bulan sebelumnya disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak galian sebanyak 1.5 peratus, bahan kimia (0.5 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (0.3 peratus).

Begitu juga, DOSM melaporkan indeks volum eksport meningkat 11.0 peratus selaras dengan peningkatan indeks pelbagai barang keluaran kilang sebanyak 21.2 peratus, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (11.9 peratus) dan minyak galian (7.5 peratus).

"Indeks volum eksport pelarasan bermusim turut bertambah 21.7 peratus daripada 141.7 mata kepada 172.5 mata.

"Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit dan indeks volum masing-masing menokok 6.1 peratus dan 1.2 peratus," katanya.

Sementara itu, DOSM berkata, indeks volum import turut menokok 10.3 peratus pada Mei 2024 berbanding April 2024, disumbangkan oleh peningkatan indeks minyak galian sebanyak 26.0 peratus, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (10.9 peratus) dan barang-barang keluaran kilang (6.0 peratus).

Ia berkata, indeks volum import pelarasan bermusim menokok 20.9 peratus daripada 182.6 mata kepada 220.9 mata.

Artikel Berkaitan:

Menurut DOSM, perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit dan indeks volum import masing-masing berkembang 2.4 peratus dan 11.1 peratus.

"Terma perdagangan Malaysia juga bertambah 0.7 peratus bulan ke bulan kepada 114.8 mata pada Mei 2024, didorong oleh kenaikan indeks alat jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak 1.6 peratus, bahan mentah tidak boleh dimakan (1.2 peratus) dan makanan (1.0 peratus).

"Terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun naik 3.6 peratus daripada 110.8 mata pada Mei tahun lepas," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!