Restoran pamer surat permohonan sijil halal kelirukan pengguna
KUALA LUMPUR - Seorang pengusaha restoran didapati cuba mengelirukan pengguna apabila mempamerkan surat permohonan sijil halal di premis perniagaan miliknya.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Azman Adam berkata, perbuatan itu terbongkar menerusi operasi bersepadu dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di premis sekitar Prima Gombak hari ini.
"Pengusaha restoran tidak memiliki sebarang sijil halal dan hanya pernah membuat permohonan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 2013 lalu.
“Tindakan ini dapat mengelirukan pengguna. Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menyertai operasi bertindak mengeluarkan notis bagi memanggil pemilik premis tersebut selepas ini untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan operasi yang turut disertai Pejabat Kesihatan Gombak, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Selangor dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bermula jam 3 petang.
Menurutnya, menerusi operasi tersebut terdapat juga premis yang dikenal pasti mempamerkan perakuan halal yang dikeluarkan kepada pembekal bahan mentah dan bukannya pemilik premis terbabit.
“Bagi kesalahan ini, Jais memberi amaran kepada pihak terlibat untuk mengalihkan perakuan tersebut kerana ia dapat mengelirukan pengguna,” katanya.
Dalam pada itu, Azman berkata KPDNHEP Selangor sudah memeriksa sebanyak lima premis menerusi operasi berkenaan dan terdapat beberapa kesalahan yang dikenal pasti dilakukan pengusaha restoran di sini.
"Operasi bersepadu akan akan diteruskan lagi selepas ini dan tidak hanya terhad kepada kategori tertentu sahaja. Kita akan cuba masuk ke seberapa banyak premis lain untuk pastikan semua pengusaha mematuhi peraturan ditetapkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!