Tidak patut halang proses Perlembagaan - Mohd Amar

Mohd Amar ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah agama di Medan Ilmu pada Jumaat.
Mohd Amar ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah agama di Medan Ilmu pada Jumaat.
A
A
A

KOTA BHARU - Keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan injunksi sementara bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim untuk menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) adalah mengikut Perlembagaan.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, dalam konteks kawasan Nenggiri, pilihan raya perlu dilakukan kerana kerusi kawasan itu sudah kosong.

Justeru katanya, pilihan raya dan proses yang ditetapkan itu tidak sepatutnya dihalang.

"Jika dia (Azizi) nak bicara, itu kemudian tetapi kita bersetuju dengan keputusan mahkamah kerana proses pilihan raya semula itu ditentukan oleh Perlembagaan.

"Kita harap pilihan raya dapat dilaksanakan mengikut Perlembagaan sebab dalam Perlembagaan disebut dengan jelas apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima notis, mereka perlu melaksanakan pilihan raya dalam masa 60 hari," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah agama mingguan di Medan Ilmu pada Jumaat.

Media pada Khamis melaporkan, Mahkamah Tinggi menolak permohonan injunksi sementara yang difailkan Mohd Azizi untuk menghentikan PRK DUN Nenggiri daripada diadakan sehingga saman pemulanya diputuskan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain, membuat keputusan itu selepas memutuskan tiada kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kerana Mohd Azizi boleh menyertai pilihan raya kecil itu.

Pada Jumaat, SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Amar berharap keputusan pengosongan kerusi yang dibuat di DUN Nenggiri akan diikuti untuk kerusi Parlimen Gua Musang berikutan peruntukan yang ada di Kelantan sama seperti di Persekutuan.

"Pindaan Perlembagaan itu mengikut perkataan yang sama Parlimen, 'word by word' dan tidak ubah," katanya.

Ketika ditanya mengenai persiapan Pas, Mohd Amar yang juga Naib Presiden parti itu memberitahu, mereka sudah menyiapkan jentera pilihan raya untuk menghadapi PRK.

"Kita sudah bersiap lebih awal sebaik sahaja mendapat tahu isu ini kerana sudah jangka bahawa PRK akan berlangsung

"Pas mula bergerak mempersiapkan jentera selain mendapatkan maklumat daripada akar umbi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!