Hubungan lebih erat sempena 100 tahun Tambak Johor - PM Singapura
SINGAPURA - Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong mahu mengukuhkan hubungan dan memastikan lebih banyak projek menang-menang dengan Malaysia, sempena ulang tahun ke-100 Tambak Johor.
Lawrence berkata, Tambak Johor yang dibuka secara rasmi pada 28 Jun 1924 telah menjadi penghubung antara rakyat dari kedua-dua negara selama 100 tahun.
"Saya berharap untuk mengukuhkan hubungan dan jalinan kita untuk 100 tahun akan datang. Singapura dan Malaysia sedang bekerjasama dalam pelbagai projek -- kesihatan, pendidikan, budaya dan perdagangan, serta dalam bidang baharu seperti ekonomi digital dan tenaga boleh diperbaharui," katanya di media sosial pada Jumaat.
Sementara itu, Menteri Luar, Dr Vivian Balakrishnan berkata, Tambak Johor adalah ikon hubungan unik persaudaraan, persahabatan dan sejarah yang terjalin antara Singapura dan Johor.
"Ia telah menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan bagi begitu banyak generasi rakyat Singapura dan Malaysia yang melintasi antara laluan darat paling sibuk di dunia, kadang-kadang setiap hari," katanya di Facebook.
Balakrishnan berkata Singapura dan Malaysia komited untuk membuat penambahbaikan yang signifikan pada masa depan ketika hubungan itu terus mendalam dan berkembang.
"Saya teruja untuk melihat siapnya Sistem Transit Rapid dan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura," tambahnya.
Pada pagi Jumaat, menteri itu menyertai sambutan ulang tahun ke-100 di Tambak Johor yang dianjurkan oleh kerajaan Negeri Johor, sambil menyatakan rasa terima kasih kepada Pemangku Raja Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi kerana menganjurkan sambutan itu. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!