Ibu bapa didakwa abai, aniaya anak enam tahun hingga maut

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat, atas satu pertuduhan mengabaikan anak perempuan mereka sehingga membawa kepada kematiannya, hujung tahun lalu.

Suri rumah, Fatin Afrina Abdullah, 26, dan pemandu e-hailing, Muhamad Fuad Jamaluddin, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Dr Azrol Abdullah.

Dalam prosiding itu, Fatin Afrina turut membawa anak bongsunya yang berusia lima bulan ke mahkamah, selepas dia melahirkan bayi perempuan itu ketika ditahan di penjara.

Mengikut pertuduhan, mereka sebagai ibu bapa kepada Eriqa Sophia Muhamad Fuad, 6, didakwa menganiaya dan mengabaikan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal kepada kanak-kanak tersebut.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah flat, Taman Mulia, Cheras di sini pada April hingga 1 Disember 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nursyuhada Abd Rauf mencadangkan setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam, Tamara Anthony yang mewakili pasangan suami isteri itu merayu kadar berkenaan dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum ini mereka dituduh atas kesalahan membunuh kanak-kanak berkenaan dan ditahan sejak Disember tahun lalu tetapi telah dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

“Saya mohon mahkamah mengambil kira, kes yang dihadapi ibu bapa (kanak-kanak autisme) Zayn Rayyan, apabila mereka diikat jamin sebanyak RM10,000.

“Justeru, saya mohon mahkamah memberikan kadar ikat jamin yang rendah kepada anak guam,” katanya yang menambah, dua lagi anak tertuduh kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Hakim: Bagaimana dengan mangsa?

Siti Nursyuhada: Mangsa telah meninggal dunia pada 2 Disember tahun lalu.

Mahkamah kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 15 Ogos depan.

Sebelum ini, polis menahan ibu bapa kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tunku Azizah.

Hasil bedah siasat mendapati mangsa menghadapi beberapa masalah kesihatan selepas dilahirkan pramatang dan maut kerana kekurangan nutrisi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!