RUU Kecekapan dan Konservasi Tenaga selari penyasaran subsidi diesel

Tangkap layar kenyataan Chean Chung pada Jumaat.
Tangkap layar kenyataan Chean Chung pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Kecekapan dan Konservasi Tenaga 2023 selari dengan tindakan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel untuk mencapai matlamat karbon sifar bersih menjelang 2050.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, ia berikutan, peletakkan harga diesel bersamaan dengan harga sedunia bukan sahaja menggalakkan penjimatan, namun mencetuskan kepenggunaan tenaga baharu seperti suria, angin, hidro dan biogas.

Menurutnya, ia akan membantu negara untuk menjayakan agenda peralihan tenaga melalui transformasi industri serta kewujudan peluang pekerjaan yang bernilai tinggi.

“Diesel merupakan tenaga ‘kotor’ dan akan melepaskan 2.7 kilogram (kg) karbon dioksida (CO2) bagi setiap liter diesel yang digunakan, jika harga diesel sengaja ditekan pada tahap murah, ramai akan cenderung untuk terus membakar tenaga kotor ini.

“Mengikut kajian Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), bahan pencemar yang dilepaskan tidak terhad kepada CO2, malah terdapat komposisi beracun seperti ‘formaldehyde and polycylic aromatic hydrocarbon (PAH)'.

“Ia mengakibatkan 14,400 kematian daripada 82 juta orang di Jerman pada 2001,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada Selasa, RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju ketika persidangan Dewan Rakyat yang dipengerusikan Timbalan Yang Dipertua, Alice Lau Kiong Yieng dengan 13 ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, RUU berkenaan berkait rapat dengan inisiatif peralihan tenaga ke arah mencapai aspirasi pelepasan gas rumah kaca (GHG) bersih sifar menjelang 2050 oleh sektor berkaitan tenaga.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Chean Chung mengingatkan kepada pembangkang bahawa sasaran mencapai karbon sifar tersebut telah diumumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang didukung Perikatan Nasional (PN) dan Pas sebelum ini.

“Ketika itu, beliau sendiri mengatakan pertumbuhan ekonomi hijau negara dan peningkatan kemampanan tenaga perlu disegerakan bagi pembangunan sosio-ekonomi.

“Justeru, penyasaran subsidi menerusi peralihan tenaga lestari ini mampu memberi landskap yang berbeza terhadap pendekatan sosio-ekonomi negara,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut Chean Chung, kerajaan Persekutuan perlu berganding bahu bersama kerajaan Sarawak bagi mengangkat negeri berkenaan sebagai hab atau zon ekonomi kepada peralihan penggunaan tenaga tanpa karbon menjelang 2030.

Tambah beliau, ia berikutan Sarawak kaya dengan sumber tenaga boleh diperbaharui seperti solar serta hidro dan kerjasama tersebut bertujuan menerokai potensi sedia ada.

“Selain itu, ia dapat mencari titik pelaksanaan bersama bagi perdagangan dan mekanisme penetapan harga karbon, levi karbon, ekonomi hidrogen, teknologi kecekapan angin dan tenaga luar pesisir.

“Tetapi, subsidi diesel secara berterusan kepada Sabah dan Sarawak tidak mampan. Cadangan saya untuk negeri tersebut mempertimbang menghasilkan ‘roadmap’ bagi peralihan tenaga lestari serta usaha-usaha beralih ke subsidi bersasar.

“Jadi, kerajaan Persekutuan dan Sarawak dapat bersama-sama menggerakkan manifestasi kesinambungan penyasaran subsidi dan peralihan tenaga lestari, disamping bergerak ke arah sifar bersih,” katanya lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!