Lelaki jangan malu kongsi masalah

Salbiah ketika bercakap kepada pemberita pada Jumaat.
Salbiah ketika bercakap kepada pemberita pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Lelaki yang berhadapan tekanan hingga menimbulkan kesulitan dalam menguruskan keluarga perlu berkongsi masalah bagi mengelak situasi lebih buruk berlaku.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, keadaan menunjukkan ramai kalangan lelaki bertindak menyembunyikan masalah kerana bimbang dengan stigma masyarakat selain didorong rasa malu.

Menurutnya, tanggapan seumpama itu perlu dikikis kerana sebagai ketua keluarga, adalah penting emosi mereka berada dalam keadaan stabil agar dapat membimbing keluarga dalam keadaan baik.

"Tabu dalam masyarakat, kita tidak akan menguar-uarkan apa juga masalah dalam keluarga, tetapi sekiranya memberi kesan tidak baik, saya nasihatkan mereka ini laporkan.

"Kita ada institusi yang boleh memberi nasihat dan di Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sendiri, ada kaunselor yang boleh memberikan khidmat sokongan dan kaunseling terhadap masalah dihadapi," katanya.

Salbiah (tiga dari kanan) sempena acara memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Perak di Ipoh pada Jumaat.
Salbiah (tiga dari kanan) sempena acara memotong pulut kuning sebagai simbolik perasmian Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Perak di Ipoh pada Jumaat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Bapa Peringkat Negeri Perak di pekarangan bangunan Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengarah LPPKN Perak, Nurfarhana Lee Mohd Zulkiiflee Lee dan Timbalan Pengarah JKR Perak, Suhaizad Sulaiman.

Artikel Berkaitan:

Salbiah berkata, kerajaan negeri akan menyusun semula modul program yang lebih bersesuaian sebagai pengukuhan terhadap peranan ketua keluarga dalam institusi kekeluargaan.

Katanya, penambahbaikan perlu dilakukan memandangkan program yang dijalankan sebelum ini kurang menarik kehadiran dan penyertaan golongan berkenaan.

"Kita dah mula baca di dada-dada akhbar, lelaki juga mengalami keadaan ditindas dan menjadi mangsa penganiayaan dalam keluarga.

"Jadi saya kira, bila ada isu-isu berbangkit, seumpama itu, kita perlu beri tumpuan melalui program-program mengikut kesesuaian dan kehendak mereka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!