Pastikan pernikahan di Selatan Thailand ikut undang-undang

Kerajaan mengadakan perbincangan dengan agensi agama berkaitan di Wilayah Selatan Thailand bagi memastikan proses pernikahan rakyat Malaysia dilakukan mengikut lunas undang-undang. Gambar hiasan
Kerajaan mengadakan perbincangan dengan agensi agama berkaitan di Wilayah Selatan Thailand bagi memastikan proses pernikahan rakyat Malaysia dilakukan mengikut lunas undang-undang. Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan mengadakan perbincangan dengan agensi agama berkaitan di Wilayah Selatan Thailand bagi memastikan proses pernikahan rakyat Malaysia dilakukan mengikut lunas undang-undang.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, setakat ini pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan pejabat agama di lima wilayah Selatan Thailand.

"Di peringkat kementerian hal ehwal agama, kita ada perbincangan dengan Majlis Agama Islam di lima wilayah Selatan Thailand.

"Kita ingin memastikan bahawa proses (perkahwinan) dan juga segala apa yang dilaksanakan itu mengikut undang-undang supaya kelak tidak ada permasalahan di masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pelancaran Fasa 2 Projek Tuisyen Rakyat Anak Kedah (PINTAR) Koperasi Anak Kedah Berhad di sini, pada Jumaat.

Zulkilfli (dua dari kanan) melawat reruai pameran bersempena Majlis Pelancaran Fasa 2 Projek Tuisyen Rakyat Anak Kedah (PINTAR) Koperasi Anak Kedah Berhad, di sini, pada Jumaat.
Zulkilfli (dua dari kanan) melawat reruai pameran bersempena Majlis Pelancaran Fasa 2 Projek Tuisyen Rakyat Anak Kedah (PINTAR) Koperasi Anak Kedah Berhad, di sini, pada Jumaat.

Beliau berkata, pihaknya akan melakukan perbincangan berterusan dengan pihak-pihak yang berkaitan.

Katanya, pihaknya sentiasa peka dengan isu semasa membabitkan perkahwinan rakyat Malaysia di negara jiran.

Artikel Berkaitan:

"Kita melihat bahawa yang lebih penting adalah bagaimana untuk memastikan perkahwinan yang sah itu dapat membina syurga, membina kebahagiaan keluarga.

"Di peringkat kementerian (Hal Ehwal Agama) kita juga memberikan kesedaran dan kefahaman dengan memperkukuhkan kursus kahwin," katanya.

Ketika diminta mengulas tentang usaha kementerian untuk mempermudahkan proses perkahwinan di negara ini bagi mengurangkan kes perkahwinan di negara jiran, Zulkifli berkata, perkara itu di bawah pejabat agama dan enakmen di negeri masing-masing.

Dalam perkembangan sama, Zulkifli berkata, turut membincangkan isu-isu lain seperti usaha memperkemaskan wakaf selain isu proses pernikahan di Wilayah Selatan Thailand dalam pertemuan di Bangkok sebelum ini.

Sebelum ini, Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat mendedahkan sekurang-kurangnya 30 pasangan dari Kuala Lumpur, Kelantan dan Terengganu datang bernikah dan berpoligami ke wilayah itu setiap bulan.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Abdul Aziz Che Mamat berkata, kebanyakan pasangan ingin berpoligami datang ke wilayah itu untuk menjadi pasangan secara sah dan sanggup datang dari jauh semata-mata bagi menghalalkan hubungan.

Bagaimanapun,beliau memberitahu, perkahwinan yang dilangsungkan di selatan Thailand tidak semudah disangka kerana ada syarat tersendiri termasuk memeriksa latar belakang pasangan kerana setiap orang perlu memikirkan nasab keturunan mereka selepas ini sekiranya berbohong.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!