DOF siasat program memancing lepaskan ikan larangan ke tasik

Tindakan individu melepaskan ikan asing di tasik biru, Kundang mengundang kecaman warganet di media sosial. Gambar kecil: Adnan, Noraisyah
Tindakan individu melepaskan ikan asing di tasik biru, Kundang mengundang kecaman warganet di media sosial. Gambar kecil: Adnan, Noraisyah
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan melepaskan ikan larangan iaitu ikan patin bagi spesies Chao Praya (Pangasius sanitwongsei) ke Tasik Biru, Kundang di Rawang, untuk program memancing, berpotensi mengganggu ekosistem ikan asli tempatan.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Datuk Adnan Hussain berkata, pihaknya mendapati pelepasan itu dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, tindakan ini menimbulkan kebimbangan kerana ikan-ikan asing tersebut berpotensi mengganggu ekosistem tasik.

"Pelepasan ikan asing boleh menyebabkan kepupusan spesies tempatan kerana persaingan untuk makanan dan habitat selain boleh menyebarkan penyakit kepada populasi ikan tempatan.

"Kita telah memulakan siasatan dengan mengenal pasti pihak yang terlibat dalam pelepasan ikan asing ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata, langkah-langkah kawalan dan pemantauan sedang diperkukuhkan untuk mengelakkan kejadian yang sama daripada berulang.

Jelasnya, masyarakat diingatkan untuk tidak terlibat dalam pelepasan ikan asing di mana-mana kawasan air tawar.

"Sekiranya terdapat sebarang maklumat berkaitan aktiviti tersebut, orang ramai diminta untuk melaporkannya kepada pihak berkuasa," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Selangor, Noraisyah Abu Bakar berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pengurus serta penganjur program.

Tambahnya, penganjur mengakui kekhilafan dan berjanji akan membuat tindakan pembaikan dengan menyalurkan maklumat berkaitan larangan pelepasan ikan asing kepada pengunjung program dan peringatan kepada peserta memancing untuk tidak melepaskan semula hasil tangkapan ikan asing ke dalam tasik.

"Jaminan juga diberi oleh penganjur untuk memasang jaring pada laluan air keluar dari tasik bagi mengelakkan ikan asing terlepas dari tasik ke sungai dan akan bekerjasama dengan DOF serta agensi lain bagi program-program mengeluarkan spesis ikan asing daripada perairan umum," katanya.

Sebelum itu, tular hantaran di Facebook pada Rabu lalu menunjukkan terdapat pihak melepaskan ikan asing tersebut bagi aktiviti memancing pada 29 Jun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!