KKM laksana projek pemetaan landskap penjagaan kesihatan negara

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kajian Jurang Penawaran dan Permintaan fasa satu yang menumpukan kepada analisis komprehensif situasi penjagaan kesihatan di seluruh negara merangkumi aspek fasiliti, peralatan dan sumber manusia kini dilancarkan.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan berkata, projek dengan kolaborasi bersama Kumpulan Bank Dunia itu dilaksanakan bagi memetakan landskap penjagaan kesihatan Malaysia untuk dua dekad akan datang.

"Projek ini bertujuan untuk mengatasi ketidakseimbangan pengagihan sumber penjagaan kesihatan negara, merangkumi hospital dan klinik sehingga perkhidmatan berkepakaran serta peralatan berteknologi tinggi.

"Dengan menetapkan standard kebangsaan untuk aset kesihatan yang penting, KKM sedang berusaha untuk menambah baik sistem kesihatan yang lebih seimbang, mampan dan cekap.

"Kajian ini akan meramalkan keperluan kesihatan negara sehingga tahun 2045, bagi memastikan Malaysia bersedia untuk memenuhi keperluan rakyat yang semakin berkembang. Perancangan jangka panjang ini amatlah penting dalam peralihan Malaysia ke arah menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Tambahnya, bagi merealisasikan aspirasi itu, sektor kesihatan awam dan swasta digesa untuk menyertai sebuah kaji selidik dalam talian bagi projek tersebut.

Ujar kenyataan itu, dengan lebih daripada 18,500 fasiliti swasta berdaftar, usaha kolaboratif ini akan menyediakan data yang diperlukan untuk menggubal dasar yang strategik bagi mengoptimumkan pengagihan sumber dan mengukuhkan kerjasama awam-swasta.

"Data yang diperoleh daripada kaji selidik ini adalah tertakluk kepada kerahsiaan data dan eksklusif bagi kajian ini, serta tidak akan dikongsikan dengan pihak dari luar pasukan kajian.

"Penyertaan dalam kajian ini akan membolehkan suara sektor swasta lebih didengari dalam membentuk masa hadapan dasar kesihatan negara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seiring dengan langkah negara untuk memulakan transformasi itu, KKM juga meminta fasiliti kesihatan swasta mengambil bahagian dalam kaji selidik dalam talian sebelum 15 Julai 2024.

"Sumbangan semua pihak akan membentuk masa depan penjagaan kesihatan di Malaysia dan mampu memastikan setiap rakyat mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan yang terbaik," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!