ASB 3 Didik isytihar pengagihan pendapatan 5.25 sen seunit

PNB umum agihan pendapatan ASB 3 Didik.
PNB umum agihan pendapatan ASB 3 Didik.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengisytiharkan pengagihan pendapatan berjumlah RM405.65 juta untuk dana harga tetap iaitu Amanah Saham Bumiputera 3 Didik (ASB 3 Didik) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024.

PNB dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, pengagihan pendapatan tersebut adalah bersamaan 5.25 sen seunit kepada 325,026 pemegang unit yang kini memiliki 7.73 bilion unit.

"Pengagihan pendapatan ASB 3 Didik mengatasi penanda aras Deposit Tetap 12-Bulan Maybank pada 2.74 peratus sebanyak 251 mata asas.

"Sehingga 25 Jun 2024, ASB 3 Didik merekodkan pendapatan bersih yang direalisasi sebanyak RM437.76 juta. Pendapatan dana ini diperoleh daripada keuntungan yang direalisasi, dividen serta pendapatan lain daripada pelaburan domestik dan antarabangsa.

"Ekuiti kekal sebagai penyumbang terbesar, dengan ekuiti domestik menyumbang 11.8 peratus daripada jumlah pulangan dan ekuiti antarabangsa menyumbang sebanyak 3.6 peratus," kata kenyataan itu.

Tahun lalu, ASB 3 Didik isytihar pengagihan pendapatan berjumlah RM368.15 juta atau 5.00 sen seunit untuk 312,476 pemegang unitnya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023.

Sementara itu, PNB turut memaklumkan, kejayaan dana dalam menjana pendapatan dan mencapai prestasi teguh tahun ini dipacu oleh prestasi pasaran ekuiti yang positif di pasaran utama, termasuk Malaysia, dan lonjakan global dalam AI generatif.

Pengiraan pengagihan pendapatan ASB 3 Didik katanya adalah berdasarkan purata baki bulanan minimum yang dipegang sepanjang tahun kewangan bagi dana tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Julai 2024.

"Urus niaga ASB 3 Didik di semua cawangan dan ejen ASNB termasuk semua platfom digital dan perbankan internet telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 28 hingga 30 Jun 2024 bagi memudahkan proses pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh melakukan urus niaga semula di portal myASNB (www.myasnb.com.my) atau melalui aplikasi mudah alih myASNB, dan di mana-mana cawangan atau ejen ASNB di seluruh negara pada 1 Julai ini.