RM20,000 duit simpanan pergi haji hangus dalam kebakaran
KOTA BHARU - Pasangan peniaga santan warga emas terkilan apabila wang berjumlah RM20,000 milik mereka hangus dalam kebakaran rumah di Kampung Aman di sini awal pagi Jumaat.
Lebih menyedihkan wang berkenaan sepatutnya dimasukkan ke dalam Tabung Haji sebagai tambahan simpanan untuk menunaikan haji.
Anak pasangan berkenaan, Mohd Firdaus Rosli, 38, berkata, bapanya, Rosli Mamat dan Siti Rokiah Mahmood, masing-masing berusia 64 tahun mengumpul wang itu lebih lapan tahun lalu.
"Ibu memang berhasrat menyimpan wang itu dalam Tabung Haji dalam tempoh terdekat ini tetapi tidak sempat kerana hangus dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi tadi.
"Kami mengalami kerugian kira-kira RM200,000 termasuk barang kemas milik ibu yang dianggarkan berharga RM15,000," katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran.
Menceritakan kebakaran yang berlaku, Mohd Firdaus memberitahu, ketika kejadian mereka sekeluarga berada di Tok Bali, Pasir Puteh kerana ada sambutan hari keluarga.
"Kami bertolak jam 5 petang semalam (Khamis) ke Tok Bali dan tinggal di sebuah chalet.
"Kira-kira jam 3 pagi, bapa saya menerima panggilan daripada saudara terdekat yang juga jiran kami memaklumkan rumah dijilat api," katanya.
Terkejut dengan kejadian berkenaan, Mohd Firdaus memberitahu, dia dan bapanya terus bergegas pulang manakala yang lain mengemas dan pulang selepas itu.
Katanya, runtun hati apabila melihat kereta Proton Wira dan Perodua Kancil serta tiga motosikal milik mereka hangus 100 peratus.
Tambahnya, walaupun masih buntu menghadapi kejadian yang berlaku tetapi dia dan keluarga tetap reda dengan ujian itu.
"Buat sementara waktu kami akan menumpang di rumah saudara yang juga berada di kampung ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!