[VIDEO] Premis saji mi sizzling ayam berulat diarah tutup

A
A
A

KOTA KINABALU - Premis yang menyajikan mi sizzling berlaukkan ayam berulat kepada pelanggan yang tular di media sosial, baru-baru ini diserbu penguat kuasa Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu dalam satu operasi di Anjung Selera, Likas di sini, pada malam Khamis.

Dalam serbuan bermula jam 7 malam itu, premis tersebut antara tiga yang diarah tutup selepas beberapa kesalahan ditemui hasil pemeriksaan dijalankan oleh pasukan PKK Kota Kinabalu.

Hasil tinjauan wartawan Sinar Harian yang menyertai operasi itu mendapati kaedah penyimpanan bahan mentah dilihat tidak sempurna selain barang makanan tidak ditutup ketika berada di dalam mesin penyejuk (chiller).

Penguat kuasa membuat teguran kepada pekerja premis berhubung kaedah penyimpanan makanan atau bahan mentah dalam peti sejuk ketika operasi dilaksanakan di Anjung Selera, Likas, Kota Kinabalu.
Penguat kuasa membuat teguran kepada pekerja premis berhubung kaedah penyimpanan makanan atau bahan mentah dalam peti sejuk ketika operasi dilaksanakan di Anjung Selera, Likas, Kota Kinabalu.

Malah, pekerja premis tersebut turut mendakwa pintu mesin penyejuk untuk penyimpanan makanan baru saja rosak.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan Sabah Datuk Dr Asits Sanna dalam kenyataannya berkata, sebanyak 14 premis makanan telah diperiksa dalam operasi tersebut.

Menurutnya, operasi itu membabitkan pemeriksaan tempat penyediaan dan penyimpanan makanan, kebersihan pengendali makanan seperti status vaksinasi anti-tifoid, rekod menghadiri kursus pengendalian makanan, pemeriksaan Kesihatan, dan pakaian semasa mengendalikan makanan.

Artikel Berkaitan:

Penguat kuasa PKK Kota Kinabalu memeriksa peti sejuk salah sebuah premis yang diarah tutup dalam operasi yang dijalankan di Anjung Selera, Likas, Kota Kinabalu.
Penguat kuasa PKK Kota Kinabalu memeriksa peti sejuk salah sebuah premis yang diarah tutup dalam operasi yang dijalankan di Anjung Selera, Likas, Kota Kinabalu.

"Hasil pemeriksaan sebanyak empat notis kompaun di bawah Seksyen 32B telah dikeluarkan dan tiga premis makanan telah diarahkan tutup mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Notis kompaun yang telah dikeluarkan adalah disebabkan kegagalan memastikan premis berada dalam keadaan yang bersih dan pengendali makanan tidak mempunyai kursus pengendalian makanan atau suntikan anti-tifoid," katanya di sini pada Jumaat.

Sehubungan itu, Asits turut menasihatkan semua pengendali makanan supaya sentiasa mengamalkan penyediaan makanan yang bersih dan selamat kepada orang ramai.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk memilih premis makanan yang bersih dan sentiasa peka dalam aspek keselamatan makanan.

"Sekiranya ada kemusykilan berkaitan isu keselamatan makanan, orang boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran untuk mendapat maklumat mengenainya," katanya.

Sebelum itu, seramai 22 pegawai penguat kuasa terlibat dalam operasi tersebut bagi memastikan semua premis makanan memenuhi keperluan kebersihan premis seperti yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!