Kakitangan Media Prima meninggal dunia selepas lebih 24 jam koma
JOHOR BAHRU - Selepas lebih 24 jam koma dan bertarung nyawa akibat kemalangan di Kulai, kakitangan Media Prima Berhad (MPB) Bandar Baru Uda menghembuskan nafas terakhir di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Aminah (HSA) di sini, pada Jumaat.
Nurakma Mohd Kalimuddin, 37, yang sedang hamil meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari semasa dirawat di HSA akibat kecederaan parah.
Nurakma sebelum ini dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan bayi dalam kandungannya berusia enam bulan tidak dapat selamatkan selepas terlibat kemalangan bersama-sama suami dan dua anaknya di Kilometer 36.6 Lebuhraya Utara-Selatan di Kulai, pada jam 11 malam Rabu.
Kemalangan itu melibatkan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Honda BR-V dipandu Nurakma dengan sebuah lori jenis Hino serta kereta Honda Accord.
Menurut suami mangsa, Abdul Rahman Ayub, 40, ketika kejadian dia bersama-sama isteri dan dua anak lelakinya sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, ketika itu Nurakma memandu kereta berkenaan dan apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan yang datang dari arah depan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan.
Abdul Rahman berkata, kejadian berlaku sekelip mata dan isterinya tidak sempat mengelak dan melanggar lori berkenaan.
Nurakma, suami dan dua anaknya kemudian dikejarkan ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim (HTSMTI) di Kulai sebelum dia dirujuk ke HSA dan mendapati kandungannya bermasalah dan dinasihatkan oleh doktor untuk menggugurkan kandungan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!