Lebih 1,500km paip di Sabah berisiko pecah - Shahelmey

Shahelmey (dua dari kiri) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Putatan.
Shahelmey (dua dari kiri) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di Putatan.
A
A
A

PUTATAN - Lebih 1,500 kilometer paip air milik Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) di negeri ini berisiko sama ada pecah atau teralih dari kedudukan yang menjadi punca gangguan bekalan air di beberapa daerah.

Bagaimanapun, Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, JANS juga mempunyai program untuk menangani perkara itu dengan melakukan penggantian paip-paip yang pecah atau lama.

"Di Sabah ini saja kita mempunyai paip lebih 1,500 kilometer, termasuk paip lama dan baharu.

"Jadi, ada beberapa tempat seperti di Papar, Sandakan dan bandar-bandar lain yang mana paipnya sudah lebih 40 hingga 50 tahun yang berisiko pecah atau teralih," katanya selepas hadir pada Majlis Penyampaian Sumbangan Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, pada Jumaat.

Katanya lagi, kejadian itu turut dipantau oleh jurutera air di daerah masing-masing bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air.

Sementara itu, ditanya mengenai perkembangan operasi pemotongan sambungan haram bekalan air di kawasan setinggan, Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, usaha itu diteruskan walaupun berdepan dengan cabaran penyambungan haram sentiasa berulang.

"Setakat Jun ini operasi telah dapat menstabilkan bekalan air ke tangki di Universiti Malaysia Sabah (UMS), namun ia perlu terus dipantau kerana apa yang berlaku pada tahun ini dan tahun sebelumnya, selepas pemotongan dibuat dalam beberapa jangka waktu akan terus dibuat sambungan semula (sambungan haram).

"Jadi inilah antara cabaran yang dihadapi dan kita mencari mekanisme bagaimana untuk mengurangkan kegiatan ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!