Diskaun tol 10 peratus di Lebuhraya LATAR

Ahmad Fuad (kiri) menyampaikan cenderahati kepada pengguna LATAR pada Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Ijok di sini hari ini.
Ahmad Fuad (kiri) menyampaikan cenderahati kepada pengguna LATAR pada Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Ijok di sini hari ini.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Kira-kira 80,000 hingga 100,000 pengguna kenderaan Kelas 1 yang melalui semua Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) akan menikmati diskaun tol sebanyak 10 peratus dalam tempoh 24 jam sempena perayaan Tahun Baru Cina 2020.

Ketua Pegawai Operasinya, Ahmad Fuad Ahmad Shahimi berkata, diskaun itu bakal dinikmati pengguna bermula jam 12 tengah malam ini sehingga jam 11.59 esok.

Menurutnya, pemberian diskaun 10 peratus itu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat kepada pengguna LATAR.

"Seperti tahun lepas, kita memberi diskaun kepada pengguna kenderaan semasa musim perayaan Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Krismas dan ini merupakan pemberian diskaun pertama untuk tahun ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media semasa Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Ijok di sini hari ini.

Ahmad Fuad berkata, selain itu, LATAR turut menyediakan lorong tambah nilai kad Touch ‘n Go yang beroperasi 24 jam bagi memudahkan pengguna sewaktu dalam perjalanan.

"Kami juga mempunyai pasukan 'Expressway Patrolling and Emergency Response Team' (Expert Latar) yang sentiasa bersiap sedia 24 jam bagi membantu pengguna dalam sebarang situasi kecemasan.

"Kita turut menyediakan dua kawasan rawat dan rehat (R&R) yang terletak di Kundang Barat dan Kundang Timur.

Artikel Berkaitan:

"Antara kemudahan yang tersedia termasuklah tandas, surau, medan selera dan ia juga dilengkapi dengan sebuah stesen minyak Petronas di kedua-dua arah.

"Kemudahan tersebut diharap memudahkan dan melancarkan perjalanan pengguna lebuh raya pulang ke kampung atau sampai ke destinasi pilihan," katanya.

Mengulas mengenai program itu Ahmad Fuad berkata, program kempen keselamatan dengan kerjasama agensi kerajaan berkaitan diadakan setiap tahun.

"Menerusi kempen ini, kita memberikan 300 cenderahati kepada pengguna LATAR yang pulang menyambut Tahun Baru Cina," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!