Kutipan tabung solidariti milik penuh Selangor FC

Mohd Najwan (tengah) bersama Nor Farah Ain (dua kanan) dan Natasha (dua kiri) pada majlis penyampaian insentif tersebut.
Mohd Najwan (tengah) bersama Nor Farah Ain (dua kanan) dan Natasha (dua kiri) pada majlis penyampaian insentif tersebut.
A
A
A

KUTIPAN Tabung Solidariti Bersama Kelab Bola Sepak Selangor (Selangor FC) menerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) akan diserahkan 100 peratus kepada Selangor FC.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, beliau difahamkan sudah lebih RM40,000 dapat dikumpulkan dalam tempoh kurang 48 jam selepas tabung itu dilancarkan pada Rabu.

"Apa yang kita dapat sehingga 2 Julai nanti akan diserahkan 100 peratus kepada Selangor FC, tidak ada sebarang caj pentadbiran dan sumbangan awam itu akan digunakan Selangor FC dalam proses mendapatkan keadilan," katanya.

Mohd Najwan ditemui pemberita selepas menyampaikan insentif kepada atlet negeri itu pada Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Negeri Selangor diadakan di sebuah hotel di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, tabung solidariti juga bukan soal memberikan duit semata-mata tetapi lebih kepada menyediakan ruang untuk peminat Selangor FC dan peminat bola sepak negara menzahirkan solidariti kepada Selangor.

"Jadi kita tidak letak nilai berapa dia nak bagi, dia nak bagi RM1 pun okey sebagai tanda solidariti dan dana dikumpul ini adalah untuk kita bantu Selangor FC mendapatkan keadilan di peringkat lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, mengenai majlis penyerahan insentif tersebut, Mohd Najwan berkata, kerajaan negeri melalui MSNS memberikan sumbangan insentif berjumlah RM10,000 setiap seorang kepada dua atlet Selangor bertaraf dunia.

Ujarnya, ia juga sebagai menghargai sumbangan atlet yang berjaya mengharumkan nama Selangor dan negara dalam sukan diceburi di peringkat antarabangsa selepas mereka menjadi juara dalam kejohanan dunia.

Artikel Berkaitan:

"Dua atlet terbabit ialah atlet tenpin bowling, Natasha Mohamed Roslan yang sebelum ini menjuarai Kejohanan Tenpin Bowling Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait.

"Seorang lagi atlet boling padang, Nor Farah Ain Abdullah yang muncul juara dalam Kejohanan 'World Bowls Indoor Championship' di Guernsey," katanya.

Dalam pada itu, seramai lapan atlet negeri Selangor yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023 yang lalu turut menerima insentif tersebut iaitu 9A (RM1,000), 8A (RM700) dan 7A (RM500).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

@sinarharianonline

Kutipan tabung solidariti milik penuh Selangor FC #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Semasa #Nasional #Sukan #Selangor #BolaSepak #MSNS #Kutipan #Solidariti

News - ComaStudio