Pengekalan penarafan kredit Malaysia bukti pengurusan ekonomi berhemah kerajaan
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia dan tinjauan ekonomi positif oleh S&P Global Ratings (S&P) dan Fitch Ratings (Fitch) menjadi bukti kepada pengurusan ekonomi berhemat kerajaan dan agenda reformasi Ekonomi MADANI yang membuahkan hasil.
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha ini merangkumi reformasi menyeluruh institusi untuk meningkatkan mudah cara perniagaan dan daya saing serta penerusan pelaksanaan projek dan pembaharuan dasar di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-e12).
"Dengan pasaran buruh yang memberangsangkan serta pertumbuhan menggalakkan dari segi perdagangan dan pelaburan memacu pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku pertama 2024 sehingga melepasi jangkaan, kerajaan yakin dengan kemampuan negara untuk mencapai pertumbuhan dalam julat sasaran rasmi sebanyak 4 hingga 5 peratus pada 2024,” kata beliau.
Anwar berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) hari ini.
S&P dan Fitch baru-baru ini mengekalkan penarafan kredit berdaulat Malaysia masing-masing pada A- dan BBB+ dan menetapkan tinjauan "Stabil”.
"Pengesahan oleh kedua-dua agensi ini mencerminkan keyakinan berterusan oleh pemegang taruh antarabangsa dalam prestasi pertumbuhan negara yang kukuh dan berdaya tahan, meskipun permintaan luaran yang mencabar ditambah dengan peningkatan konflik geopolitik global,” kata Kementerian Kewangan.
Menurut MOF, S&P menyatakan bahawa penarafan agensi itu ke atas Malaysia disokong oleh kedudukan luaran yang kukuh dan dasar monetari yang anjal selain aliran pertumbuhan ekonomi negara yang menunjukkan peningkatan pada kadar yang lebih tinggi berbanding negara berpendapatan setara.
Manakala Fitch pula mengunjur KDNK Malaysia akan melonjak sebanyak 4.4 peratus pada 2024 dan 4.5 peratus pada 2025, lebih tinggi daripada 3.6 peratus pada 2023.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan kekal komited untuk memastikan kemampanan kewangan awam dengan mematuhi trajektori konsolidasi fiskal yang konsisten.
"Defisit fiskal yang telah menirus kepada 5 peratus pada 2023 dijangka menyusut lagi kepada 4.3 peratus pada 2024.
"Dalam jangka sederhana, kerajaan menetapkan defisit fiskal untuk berada pada paras 3 peratus seperti termaktub dalam Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2024.
"Ini selari dengan sasaran fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI untuk merealisasi kemampanan fiskal dan tatakelola yang baik,” kata MOF. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!