RISDA cadang tubuh tabung khas tingkat ekonomi pekebun kecil

Manndzri (dua dari kanan) bergambar dengan barisan produk kraf tangan kayu yang dihasilkan Mohd Rizal (tiga dari kanan).
Manndzri (dua dari kanan) bergambar dengan barisan produk kraf tangan kayu yang dihasilkan Mohd Rizal (tiga dari kanan).
A
A
A

SIK - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) untuk menubuhkan tabung khas bagi memperkasa kemakmuran lebih 500,000 komuniti pekebun kecil getah di seluruh negara.

Cadangan itu dinyatakan oleh Pengerusinya, Manndzri Nasib, yang mana ia merupakan langkah strategik bagi melindungi komuniti itu daripada terdedah dengan pelbagai cabaran isu-isu tertentu seperti pemilikan tanah yang terhad, kos operasi tinggi, kekurangan tenaga kerja, serangan penyakit dan persaingan tanaman komoditi lain.

Malah, komuniti pekebun kecil getah juga katanya, turut berdepan isu perubahan iklim serta ketidakstabilan harga pasaran yang memberi kesan langsung kepada usaha pihak kerajaan meningkatkan produktiviti getah negara.

“Cadangan penubuhan tabung khas ini akan diperhalusi oleh Ahli Pihak Berkuasa RISDA.

“Kita mahu memastikan keuntungan tahunan yang dijana oleh Kumpulan RISDA Holdings bukan hanya memberi manfaat kepada pemegang saham melalui 30 peratus dividen, tetapi juga memberi kebaikan kepada komuniti pekebun kecil getah,” katanya selepas melawat projek usahawan bantuan RISDA di Kampung Jerai, di sini pada Jumaat.

Manndzri (kanan) mendengar penerangan mengenai projek kraf tangan kayu yang dijalankan Mohd Rizal di Kampung Jerai, Sik pada Jumaat.
Manndzri (kanan) mendengar penerangan mengenai projek kraf tangan kayu yang dijalankan Mohd Rizal di Kampung Jerai, Sik pada Jumaat.

Manndzri yang juga Ahli Parlimen Tenggara itu menambah, dengan pelaksanaan tabung khas itu, ia akan memangkinkan peningkatan kualiti dan taraf hidup komuniti pekebun kecil getah selaras dengan aspirasi Desa MADANI.

Aspirasi Desa MADANI jelasnya, merupakan tonggak kepada kerangka kemakmuran dan kesejahteraan masyarakat luar bandar yang dihasratkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Menteri KKDW.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Manndzri memberitahu bahawa RISDA telah diberikan kepercayaan untuk memperkasa komuniti pekebun kecil getah menerusi Belanjawan MADANI membabitkan peruntukan sebanyak RM676 juta.

“Daripada jumlah (peruntukan) itu, RM411 juta untuk pelaksanaan program pembangunan pekebun kecil getah manakala RM265 juta lagi untuk Program Bantuan Musim Tengkujuh (BMT).

Manndzri (tengah) menerima cenderahati khas daripada usahawan bantuan RISDA, Mohd Rizal semasa mengadakan lawatan kerja di Sik, Kedah.
Manndzri (tengah) menerima cenderahati khas daripada usahawan bantuan RISDA, Mohd Rizal semasa mengadakan lawatan kerja di Sik, Kedah.

“Peruntukan ini mampu menyokong usaha kerajaan memakmurkan dan menyejahterakan 2.7 juta daripada 8 juta masyarakat luar bandar di seluruh negara yang terlibat dalam sektor penanaman getah sebagai punca pendapatan utama,” ujarnya.

Sementara itu, seorang usahawan bantuan RISDA, Mohd Rizal Mustafa, 47, ketika ditemui memberitahu, dia telah memulakan projek kraf tangan kayu sejak tahun 2018 dan mula menerima bantuan dalam bentuk modal kerja sebanyak RM10,000 dan RM5,000 masing-masing pada tahun 2021 dan 2022.

Selain itu, RISDA katanya turut memberikan bantuan pelabelan ang membolehkannya meningkatkan kualiti produk selain membina pasaran yang lebih baik.

“Alhamdulillah, projek kraf tangan ini mula menjadi pendapatan utama di samping kerja hakiki saya sebagai pekebun kecil. Tahun lalu, saya mampu memperoleh pendapatan keseluruhan kira-kira RM63,070,” katanya.