IJN pertama di Asia Tenggara pasang implan EV-ICD kepada pesakit jantung
SHAH ALAM - Institut Jantung Negara (IJN) melakar satu lagi sejarah apabila menjadi yang pertama di Asia Tenggara berjaya memasang implan ekstravaskular (EV-ICD) kepada pesakitnya pada Jumaat.
Prosedur menggunakan peranti dibangunkan oleh Medtronic bagi memberi harapan kepada pesakit yang mempunyai risiko tinggi kematian mengejut akibat denyutan jantung tidak normal itu dilaksanakan Pengarah Klinikal Elektrofisiologi dan Peranti Implan, Datuk Dr Azlan Hussin.
Dr Azlan berkata, pesakit yang telah selesai menjalani prosedur tersebut kini sedang dalam proses pemulihan seperti yang dijadualkan.
"Sistem EV-ICD direka untuk memantau denyutan jantung secara berterusan dan memberikan kejutan elektrik yang tepat pada masanya bagi menjadikannya kembali normal. Ia dapat mengurangkan risiko pesakit alami kematian mengejut.
"Selain daripada memberikan rawatan defibrilasi yang menyelamatkan nyawa dan 'anti-tachycardia pacing' dalam satu sistem implan, EV-ICD sedikit berbeza dengan kaedah tradisional implan atau ICD kerana ia dipasang di luar sistem peredaran darah.
"Ciri unik ini memberikan kelebihan dan menawarkan pilihan alternatif kepada pesakit yang memerlukan ICD tetapi menghadapi beberapa halangan. Ini kerana pemasangan ICD tradisional sebelum ini mempunyai wayar yang dimasukkan ke dalam salur darah untuk ia sampai ke jantung," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bagaimanapun katanya, ia berbeza dengan peranti EV-ICD yang mana wayar digunakan ditempatkan di luar jantung dan salur darah.
"Ini membantu mengurangkan risiko komplikasi jangka panjang yang kita lihat sebelum ini antaranya jangkitan kuman serta mengatasi cabaran seperti salur darah yang tersekat sekali gus menghalang proses implan ICD konvensional.
"Peranti ini juga disepadukan dengan rangkaian CareLink Medtronic, yang membolehkan doktor dan pasukan perawat memantau keadaan jantung pesakit secara jarak jauh serta mengesan kemungkinan masalah dan komplikasi dari awal," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, sebagai salah sebuah institusi perubatan terbesar negara yang memfokuskan kepada pakar jantung itu, IJN sentiasa berada di barisan hadapan inovasi perubatan dengan EV-ICD sebagai buktinya.
"Pencapaian hari ini mengukuhkan lagi komitmen tanpa henti seluruh pasukan kami untuk merentasi apa jua sempadan dan halangan sebaik mungkin," katanya.
Dalam satu kajian yang melibatkan 356 pesakit di 46 hospital di seluruh dunia, EV-ICD terbukti mempunyai kadar kejayaan defibrilasi setinggi 98.7 peratus, menurut The New England Journal of Medicine.
Kajian itu turut mendapati peranti tersebut mencapai matlamat keselamatannya dengan tidak mempunyai komplikasi sistem atau prosedur yang besar dalam tempoh enam bulan selepas implan dilaksanakan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!