Keputusan mahkamah bukti tatacara pindaan Perlembagaan Bersatu teratur - Hamzah

Hamzah
Hamzah
A
A
A

SHAH ALAM - Proses serta tatacara pindaan Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dibuat dengan penuh ketelitian mengikut segenap lunas perlembagaan parti.

Sehubungan itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, tuduhan berlaku kesilapan dalam proses pindaan dan pendaftaran keahlian parti seperti didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari adalah tidak benar.

"Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sendiri mengesahkan menerusi sepucuk surat bertarikh 19 Jun 2024 bahawa 'proses dan tatacara permohonan pindaan Perlembagaan yang dikemukakan Bersatu telah dilaksanakan dengan teratur mengikut lunas Perlembagaan parti'," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini Abdul Rashid dilapor mendakwa, Bersatu melanggar Perlembagaan parti susulan menerima keahlian dua anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) iaitu ADUN Kuang, Mohd Rafiq Abdullah dan Mohd Yazid Mohd Yunus (ADUN Lepar) yang dikatakan bukan kaum pribumi.

Beliau membuat dakwaan itu ketika menjawab surat arahan Bersatu berkaitan sokongan yang diberikan kepada pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Sementara itu Hamzah yang juga Ketua Pembangkang menegaskan, tindakan Bersatu dapat dibuktikan menerusi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis yang menolak injunksi sementara yang difailkan bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim berkaitan kerusi DUN disandangnya.

"Perkembangan positif ini akan menjadi pemangkin kepada kejayaan Bersatu dan tentunya mempunyai hubung kait dengan urusan pentadbiran parti yang dibuat secara teratur serta cermat," ujarnya.

Mohd Azizi gagal menghentikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk injunksi sementara dalam saman pemula yang difailkan, Isnin lalu.

Artikel Berkaitan:

Pesuruhjaya Kehakiman, Roz Mawar Rozain memutuskan bahawa, Ahli Parlimen Gua Musang itu tidak berdepan kesulitan jika PRK dijalankan semula.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!