Saman Indira Gandhi terhadap KPN, kerajaan ditolak

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini telah menolak saman RM100 juta seorang guru tadika M. Indira Gandhi terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan, kerana didakwa gagal menangkap bekas suaminya dan mengembalikan anak perempuannya yang telah diculik lelaki itu.

Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan membuat keputusan itu selepas mempertimbangkan bukti yang dikemukakan di mahkamah yang menunjukkan usaha dilakukan KPN, Tan Sri Abdul Hamid Bador dan PDRM ketika itu, tidak menunjukkan sebarang pengabaian tugas.

"Melihat kepada semua bukti di hadapan saya dan ditambah pula dengan fakta bahawa untuk membolehkan plaintif berjaya dalam tort of nonfeasance, plaintif perlu menunjukkan wujudnya niat jahat, adalah mustahil untuk mahkamah membuat kesimpulan bahawa KPN dan PDRM tidak cuba mencari bekas suami wanita itu iaitu Muhammad Riduan Abdullah.

"Saya membuat kesimpulan bahawa KPN dan PDRM menjalankan tugas mereka mengikut cara yang mereka anggap paling sesuai. Cara mereka menjalankan penyiasatan adalah mengikut budi bicara mereka yang luas dan saya tidak berada dalam kedudukan untuk meraguinya.

"Pada asasnya, apa yang penting bagi saya ialah terdapat bukti bahawa siasatan telah dijalankan dan masih berjalan. Oleh itu, saya menerima keterangan Abdul Hamid dan ASP Yap Siew Cheng berhubung keseluruhan senario siasatan serta mendapati baik KPN mahupun PDRM tidak mempunyai niat jahat dalam perkara ini,” katanya.

"Memandangkan hakikat dan keadaan yang menyelubungi pertikaian ini, saya tidak membuat sebarang arahan mengenai kos,” katanya.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Kementerian Dalam Negeri.

Dalam saman yang difailkan pada 28 Oktober 2020, Indira Gandhi mendakwa KPN dengan sengaja dan cuai tidak mengendahkan perintah mandamus yang dikeluarkan oleh Mahkamah Persekutuan, kerana gagal menyiasat atau mengambil tindakan sewajarnya untuk mengembalikan anak perempuannya Prasana Diksa, yang kini berusia 16 tahun kepadanya.

Artikel Berkaitan:

Pada 2009, bekas suami Indira Gandhi, Muhammad Riduan Abdullah secara unilateral telah mengislamkan ketiga-tiga anaknya tanpa kebenaran Indira Gandhi, sebelum ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak, tetapi pada 2018 Mahkamah Persekutuan memutuskan penukaran agama unilateral ketiga-tiga anak itu sebagai batal dan tidak sah.

Prasana Diksa diambil Muhammad Riduan ketika berusia 11 bulan, sejurus selepas lelaki itu memeluk Islam.

Mahkamah Tinggi Ipoh pada 2010, memberikan hak penjagaan penuh kanak-kanak itu kepada Indira Gandhi. Pada 2016, Mahkamah Persekutuan mengesahkan perintah mandamus yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi, mengarahkan polis dan perayu menangkap Muhammad Riduan dan mendapatkan semula anak bongsu mereka, Prasana Diksa untuk dikembalikan kepada Indira Gandhi.

Indira mendakwa kesemua defendan berperanan dalam membuat keputusan atau mengarahkan PDRM melaksanakan waran komital terhadap Muhammad Riduan Abdullah, seperti yang diperintahkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 29 April 2016.

Wanita itu mendakwa tingkah laku defendan secara langsung, menyebabkan dia terpisah dengan anak bongsunya sehingga hari ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!