15 suspek ditahan kes gaduh putus tangan

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

IPOH - Seramai 15 lelaki ditahan sehingga kini berhubung kes pergaduhan mengakibatkan seorang mangsa putus pergelangan tangan di Jalan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah, Tanjung Rambutan dekat sini, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, penahanan semua suspek dilakukan secara berasingan di sekitar bandar raya ini sejak hari pertama kejadian dilaporkan.

"Setakat ini kita sudah lakukan tangkapan ke atas 15 individu dengan tangkapan terbaru hari ini melibatkan seorang suspek.

"Saringan ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, enam suspek berusia 23 hingga 37 tahun yang ditahan sebelum ini telah direman selama lima hari.

Katanya, tempoh reman baki sembilan lagi suspek berusia 35 hingga 50 tahun dibenarkan sehingga 1 dan 2 Julai depan bagi membantu siasatan.

"Polis akan menyiasat pelbagai aspek berhubung insiden ini.

"Siasatan dibuka mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata dan Seksyen 148 kanun sama kerana merusuh," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abang Zainal Abidin memaklumkan, mangsa putus pergelangan tangan telah menjalani pembedahan bagi menyambung semula anggota terbabit.

"Mangsa kini dalam rawatan dan menjalani fisioterapi," katanya.

Sinar Harian melaporkan, pergelangan tangan kiri dengan kesan darah itu ditemukan atas jalan raya oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tambun yang menjalankan operasi memadam kebakaran sebuah kereta jenis Toyota Vios selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.16 pagi.

Siasatan awal polis mendapati, mangsa bersama dua lagi rakannya masing-masing berusia 26 hingga 30 tahun semasa kejadian telah diserang hampir 20 lelaki bersenjatakan kayu dan parang.

Serangan itu berlaku dipercayai ada kaitan dengan kes perebutan kawasan bagi aktiviti pengedaran dadah.

Kejadian turut mengakibatkan dua lagi rakan mangsa mengalami kecederaan masing-masing hampir putus di pergelangan tangan kiri dan putus urat di tapak tangan kiri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!