Siti Roha hadiahkan perak dari kem judo di AUG 2024

Siti Roha
Siti Roha
A
A
A

KEM judo negara menutup hari ketiga saingan Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya Malang 2024 dengan meraih pingat perak di Pusat Konvensyen Airlangga, Universitas Airlangga, pada Jumaat.

Siti Roha Miszuraini menghadirkan pingat tersebut selepas bangkit menjinakkan wakil Indonesia, Ike Faradiiba Nurjannah dalam aksi perlawanan kedua Kategori Atas 78 kilogram (kg) wanita.

Sebelum itu, hasrat penuntut berusia 21 tahun kelahiran Pontian, Johor tersebut untuk merangkul emas tidak kesampaian apabila tewas kepada seorang lagi atlet tuan rumah, Indah Permatasari.

Penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) jurusan Ekonomi itu ketika ditemui pemberita mengakui kecewa apabila gagal menghadirkan pingat emas buat kontinjen negara.

"Perlawanan pertama saya agak gementar kerana pernah tewas berdepan Indah Permatasari dalam Kejohanan SEA di Bali sebelum ini.

"Namun dalam gelanggang tadi saya tekad memberikan aksi terbaik, namun bukan rezeki di AUG 2024 kali ini.

"Perlawanan kedua, saya tekad dalam diri untuk menewaskan dia (Ike Faradiiba), alhamdulillah berjaya," kata atlet yang pertama kali melakukan penampilan di temasya dwi tahun berkenaan.

Skuad judo negara sebelum ini membuka kempen AUG 2024 langkah kanan apabila meraih pingat emas menerusi Nur Farah Izzati Wallah yang mengungguli kategori bawah 52kg wanita.

Artikel Berkaitan:

Afiq Danish Zapri dan Amir Danial Abdul Majeed masing-masing meraih pingat emas kemudian meneruskan momentum itu apabila merangkul dua lagi medal tersebut dalam kategori bawah 90kg dan bawah 81kg lelaki.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!