MFL perlu konsisten, nyatakan rasional hukuman - Pemerhati

Datuk Dr Pekan Ramli
Datuk Dr Pekan Ramli
A
A
A

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) perlu konsisten dengan hukuman serta menyatakan rasional di sebalik setiap keputusan dibuat supaya dapat mengelakkan tanggapan buruk pada masa hadapan.

Perkara itu dibangkitkan penganalisis sukan dan pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli yang menganggap sebagai badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M), segala tindakan yang diambil oleh MFL perlu konsisten.

Beliau berkata, setiap hukuman yang dikenakan perlu bersandarkan peraturan sedia ada supaya tidak menimbulkan persoalan dan boleh dipertikai.

"Saya sebenarnya lebih suka sesuatu hukuman itu dinyatakan atau disebut berdasarkan kepada peraturan sekian-sekian, (menunjukkan) inilah hukuman yang diguna pakai terhadap kesalahan dilakukan. Rujukan terhadap peraturan itu penting bagi menepis segala tanggapan negatif.

"Dalam konteks ini (MFL dan Selangor) bila hukuman dijatuhkan dan dalam masa sehari hukuman itu telah dikurangkan semula, memang ini bidang kuasa MFL tapi orang lihat ini sebagai satu perkara yang tidak konsisten,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan MFL mengurangkan beban hukuman terhadap Selangor FC dalam tempoh kira-kira 24 jam, susulan Gergasi Merah tidak hadir pada perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Johor, bulan lepas.

Pada masa sama, Pekan tidak menolak kemungkinan hukuman awal yang dibuat MFL sebagai langkah terburu-buru.

"Saya mungkin boleh melihat langkah MFL agak terburu-buru tetapi saya berfikiran positif asalkan gelora panas ini dapat ditenangkan kembali,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semalam, MFL mengurangkan hukuman denda daripada RM100,000 kepada RM60,000 terhadap Selangor selain membatalkan hukuman pemotongan tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025

Selain itu, larangan kemasukan penonton ke perlawanan Liga Super minggu ke-14 melibatkan Selangor menentang JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya turut ditarik balik, namun bayaran pampasan kerugian ditanggung pasukan tuan rumah JDT dan MFL dikekalkan.

MFL turut memberikan Selangor tempoh membuat rayuan berhubung hukuman denda itu selama tiga hari bermula semalam.

‘Pusingan U’ yang dibuat MFL itu sehari selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menzahirkan rasa murka baginda atas keputusan yang dibuat MFL terhadap Selangor.

Dalam pada itu, Pekan melahirkan kekesalan dengan situasi semasa bola sepak negara sambil menyatakan bola sepak tempatan mempunyai potensi dengan peningkatan prestasi yang ditunjukkan pasukan seperti JDT, Selangor dan Terengganu FC (TFC).

Justeru, beliau menyeru semua pihak mengetepikan perbalahan dan mengembleng tenaga memajukan sukan nombor satu negara itu.

"Kita ada kelab hebat seperti JDT, Selangor dan TFC, kita nak mereka hebat di padang, hebat bersaing dalam sukan itu. Kita tak mahu perkara-perkara di luar padang lebih hebat daripada kualiti mereka. Kita nak tengok pasukan kita maju yang pasti akan menyumbang kepada skuad kebangsaan.

"Bila terlalu banyak pergolakan sudah pasti ia akan jejaskan bukan saja semangat pemain tetapi pegawai dan penyokong, kita tak nak ia berlaku. Jadi kena bermuhasabah, perlu berjiwa besar dan rendahkan diri, jadikan matlamat utama kita untuk majukan bola sepak negara,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!