Pelajar OKU teruja lanjut pengajian ke universiti

Muhamad Adib Nadhir bersama surat tawaran mengikuti pengajian Program Asasi Kemanusiaan yang diserahkan sendiri Dr Mohd Zawavi dalam satu majlis ringkas di SMK Chengal Lempong di sini pada Jumaat.
Muhamad Adib Nadhir bersama surat tawaran mengikuti pengajian Program Asasi Kemanusiaan yang diserahkan sendiri Dr Mohd Zawavi dalam satu majlis ringkas di SMK Chengal Lempong di sini pada Jumaat.
A
A
A

KUANTAN - Impian seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) untuk melanjutkan pengajian ke universiti menjadi kenyataan apabila dia ditawarkan tempat di Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) bermula Ahad ini.

Lebih bermakna lagi bagi Muhamad Adib Nadhir Mohd Zaharizan,18, surat tawaran untuk mengikuti pengajian Program Asasi Kemanusiaan yang ditawarkan itu diserahkan sendiri Naib Canselor UniPSAS, Profesor Datuk Dr Mohd Zawavi Zainal Abidin.

Muhamad Adib Nadhir yang mengidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrhopy (SMA) jenis 2 mengakui teruja untuk memulakan sesi pengajian walaupun menyedari kekangan yang terpaksa dilalui.

Walaupun terpaksa bergantung dengan kerusi roda, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chengal Lempong di sini tekad menyahut cabaran untuk menghabiskan pengajian sepenuh masa selama setahun atau tiga semester demi mencapai cita-citanya sebagai ahli perniagaan.

"Awalnya saya tidak menaruh harapan terlalu tinggi untuk melanjutkan pengajian hingga ke universiti selepas keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ekoran kekurangan dialami, namun berkat usaha dan belajar bersungguh-sungguh selama ini, saya mendapat keputusan 3A 5B.

Dr Mohd Zawavi (duduk dua dari kiri) menyerahkan surat tawaran Program Asasi Kemanusiaan kepada Muhamad Adib Nadhir dalam satu majlis ringkas di SMK Chengal Lempong di sini pada Jumaat.
Dr Mohd Zawavi (duduk dua dari kiri) menyerahkan surat tawaran Program Asasi Kemanusiaan kepada Muhamad Adib Nadhir dalam satu majlis ringkas di SMK Chengal Lempong di sini pada Jumaat.

"Saya mendapat tawaran melanjutkan pengajian diploma Analisis Pelaburan di Universiti Teknologi Mara (UITM) Dungun.

"Tawaran itu terpaksa ditolak atas faktor terlalu jauh dari rumah dan tidak mampu hidup sendiri di kampus," kata pelajar dari Taman Balok Permai, di sini.

Artikel Berkaitan:

Dia berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan surat tawaran itu di SMK Chengal Lempong di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pengetua SMK Chengal Lempong, Norhisham Rani.

Muhamad Adib Nadhir berkata, tawaran dari UniPSAS itu peluang terbaik 'ibarat pucuk dicita ulam mendatang' untuknya meneruskan pengajian di peringkat lebih tinggi.

"Insya-ALLAH saya akan cuba melaluinya dengan bantuan keluarga, rakan-rakan dan pihak universiti sendiri.

"Saya akan mendaftar Ahad ini dan sesi kelas mungkin dilakukan secara dalam talian dan hanya perlu ke kelas secara bersemuka untuk waktu-waktu tertentu sahaja," katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Zawavi berkata, UniPSAS memikul tanggungjawab dan amanah besar bagi memastikan universiti itu mampu menawarkan pengajian kepada pelajar berkeperluan.

Menurutnya, semua orang boleh mencipta kejayaan dan kecemerlangan termasuk dalam kalangan OKU dan UniPSAS menawarkan peluang kepada golongan itu yang layak.

"Bagi pelajar ini (Muhamad Adib Nadhir) kita tawarkan program asasi dengan yuran pengajian ditaja kerajaan negeri.

"Selepas menamatkan program asasi ini, kita akan tawarkan untuknya melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perakaunan di universiti ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!