10 kenderaan terperangkap banjir kilat di Ayer keroh

Tangkap layar video tular di aplikasi WhatsApp menunjukkan beberapa kenderaan termasuk motosikal terperangkap di dalam arus banjir.
Tangkap layar video tular di aplikasi WhatsApp menunjukkan beberapa kenderaan termasuk motosikal terperangkap di dalam arus banjir.
A
A
A

MELAKA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 10 kenderaan terperangkap dalam banjir kilat yang melanda Jalan Tun Razak, Ayer Keroh di sini petang tadi, susulan hujan lebat berterusan.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, bagaimanapun, tiada mangsa yang tercedera atau terperangkap dalam kejadian kira-kira jam 4.50 petang itu.

"Sejurus menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu, tujuh anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh bergegas ke lokasi dan tiba kira-kira empat minit kemudian.

"Kenderaan-kenderaan itu kemudiannya dialihkan ke tempat selamat dan operasi tamat kira-kira 5.30 petang,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.

Sebelum itu, tular satu video di aplikasi WhatsApp menunjukkan beberapa kenderaan termasuk motosikal terperangkap di dalam arus banjir dianggarkan sedalam kira-kira paras paha.

Sesetengah kawasan di Melaka dilanda hujan lebat kira-kira jam 4 petang tadi dan reda hampir tiga jam kemudian.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Kamarulsyah Muslim berkata, sebuah kereta mewah mengalami kerosakan, manakala seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan selepas kenderaan tersebut dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Sungai Putat menghala Batu Berendam.

"Seramai 11 anggota dan pegawai APM telah membantu mengeluarkan mangsa dan melakukan kerja pembersihan di lokasi berkenaan, sebelum lalu lintas kembali pulih," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Kamarulsyah berkata, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) turut dibuka di Balai Raya Bukit Balai, sebagai persiapan menerima mangsa banjir dari Kampung Bukit Balai dan Kampung Bukit Tambun dan proses pemindahan dan pendaftaran mangsa masih dijalankan.- Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!