Larangan jual diesel, RON95 berulang pada hari sama di Perlis

Larangan jual diesel, RON95 berulang pada hari sama di Perlis. Gambar hiasan
Larangan jual diesel, RON95 berulang pada hari sama di Perlis. Gambar hiasan
A
A
A

KANGAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tegas melaksanakan penguatkuasaan arahan larangan menjual diesel dan petrol RON95 secara berulang dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan minyak itu sekali gus menangani isu ketirisan subsidi minyak berkenaan.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, untuk itu, surat arahan kepada semua pengusaha stesen minyak di Perlis mengenai larangan penjualan minyak tersebut secara berulang pada hari sama telah diserahkan kepada mereka yang berkuat kuasa serta-merta selepas Kelantan.

"Arahan Pengawal ini dikeluarkan berdasarkan peruntukan di bawah Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 berhubung larangan menjual diesel dan petrol RON95 secara berulang dalam hari yang sama kepada kenderaan berpendaftaran Malaysia dan asing yang berkuat kuasa serta-merta.

"Arahan ini terpakai kepada kesemua 39 stesen minyak dan pemegang lesen runcit bahan api diesel dan semua gred petrol bagi negeri Perlis," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Arahan Pengawal Bekalan kepada 39 pemilik stesen minyak di Perlis di sini pada Jumaat.

Azman berkat, jika didapati pengusaha stesen minyak itu ingkar serta bersubahat dengan pihak yang melakukan penyelewengan minyak itu, mereka bakal dikenakan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen.

Beliau berkata, pegawai KPDN juga akan berada di stesen minyak yang menjadi lokasi panas selain kamera litar tertutup (CCTV) untuk pemeriksaan semula bagi mengesan sekiranya berlaku sebarang aktiviti penyelewengan minyak bersubsidi itu.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 22,306 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara menerusi OPS TIRIS 3.0 bagi tempoh 1 Jan sehingga 25 Jun lepas dengan daripada jumlah tersebut sejumlah 1,156 kes diambil tindakan melibatkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM64.84 juta yang membabitkan 397 tangkapan.

"Di bawah pelaksanaan OPS TIRIS 3.0 juga, KPDN telah menempatkan pegawai penguat kuasa di lapan lokasi pintu masuk sempadan negara iaitu negeri Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga penubuhan Single Border Agency (MCBA) bagi membanteras ketirisan dan aktiviti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.

Selain itu, Azman berkata, berdasarkan statistik penguatkuasaan di pintu masuk sempadan negara bermula 20 Januari sehingga 25 Jun lalu, sebanyak 31,076 kenderaan telah diperiksa dan daripada jumlah itu, terdapat sebanyak tujuh kes.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!