Tinggal kanabis lebih RM262,000 di pesisir pantai

Ismail (dua dari kanan) pada sidang media di Pejabat JKDM Perlis Kangar pada Jumaat. Foto Bernama
Ismail (dua dari kanan) pada sidang media di Pejabat JKDM Perlis Kangar pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perlis merampas 84.67 kilogram (kg) kanabis dianggarkan bernilai RM262,477 di pesisir pantai Kampung Pulau, Simpang Empat dekat Arau pada Isnin lepas.

Pengarah Kastam Perlis, Ismail Hashim berkata, berdasarkan maklumat, sepasukan anggota Kastam Cawangan Penguatkuasaan/Marin Kuala Perlis ke lokasi berkenaan pada jam 7.30 pagi dan menemukan dua bungkusan mengandungi 80 ketulan mampat disyaki dadah kanabis.

Beliau berkata, dadah itu diletakkan di pesisir pantai dipercayai melalui jalan laut menggunakan sampan dan akan diambil pihak ketiga bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Pasukan telah menunggu di sekitar kawasan ini namun tiada sesiapa yang datang dan mengambil bungkusan terbabit. Oleh itu, tiada tangkapan dilakukan,” katanya dalam sidang media di sini pada Jumaat.

Menurut Ismail, berdasarkan jumlah berat dadah yang dirampas, ia dipercayai dapat diedarkan kepada lebih 420,000 penagih dadah.

Sementara itu pada jam 2.40 petang hari sama, beliau berkata JKDM menahan seorang wanita tempatan kerana membawa wang tunai berjumlah RM65,160 di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.

Ismail berkata, wanita berusia 47 tahun itu dipercayai gagal membuat pengikraran mata wang dalam Borang Kastam No 7 serta tidak mendapatkan kelulusan Bank Negara Malaysia kerana membawa mata wang melebihi jumlah bersamaan AS$10,000.

Beliau berkata, pegawai bertugas bertindak memeriksa beg galas wanita berkenaan selepas melalui mesin pengimbas bagasi sebelum menemukan pelbagai not mata wang Ringgit Malaysia.

Kes, katanya disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!