Komunikasi penyelamat rumah tangga
SHAH ALAM - Masalah main kayu tiga boleh dielakkan dengan cara suami isteri sentiasa bersikap jujur dan meluahkan ketidakpuasan hati yang dirasai terhadap pasangan.
Perunding Motivasi dan Kaunseling, Hushim Salleh berkata, komunikasi merupakan kunci utama untuk menyelamatkan rumah tangga kerana ia berfungsi sebagai medium untuk mengetahui segala isi yang terbuku di hati.
“Dalam kehidupan berumah tangga, tidak boleh ada rasa takut untuk meluahkan sesuatu perkara yang terpendam kerana lama-kelamaan ia akan menjadi nanah dan menimbulkan perasaan benci terhadap pasangan.
“Gunakan peluang yang ada dengan berkomunikasi bersama pasangan. Luahkan segala perkara, tidak kira berkaitan dalam kain, sikap atau sebagainya,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan Malaysia kini berdepan lambakan aplikasi cari pasangan yang turut digilai oleh individu yang sudah berkahwin sehingga meruntuhkan rumah tangga.
Terdapat 7.38 juta pengguna aplikasi tersebut di negara ini berdasarkan jumlah muat turun 10 aplikasi dating paling popular pada tahun 2022.
Mengulas lanjut, Hushim memberitahu, strategi kedua untuk menyelamatkan rumah tangga adalah dengan mengingati semula momen-momen bersama sewaktu bercinta, melancong dan sebagainya.
Menurutnya, mengimbau semula kenangan sememangnya akan membantu untuk menimbulkan rasa bibit-bibit percintaan.
“Saya pasti, setiap yang berkahwin pernah memanggil pasangan mereka dengan panggilan seperti sayang, baby, cinta dan sebagainya.
“Panggilan manja itu perlu dikekalkan. Jangan sesekali rasa janggal dengan panggilan itu kerana ia sebenarnya mengeratkan dan mengharmonikan hubungan rumah tangga,” ujarnya.
Ketika ditanya mengenai salah satu daripada pasangan terlibat dengan aplikasi jodoh, namun masih mencari solusi untuk menyelamatkan rumah tangga, Hushim berkata, jalan terbaik adalah dengan berjumpa pakar kaunseling.
“Dalam sesi kaunseling bersama pakar, kita akan cuba mendamaikan kedua-dua mereka melalui pelbagai perkara antaranya membincangkan matlamat hubungan, merungkaikan hal-hal yang dipendam dan membangkitkan semula kenangan percintaan.
“Alhamdulillah, sepanjang 40 tahun berkhidmat sebagai pakar motivasi dan kaunseling, ramai klien yang berhadapan masalah rumah tangga akhirnya berjaya diselesaikan melalui proses ini,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!