Tidak sesuai guna istilah 'mesra Muslim' untuk promosi negara - MATA

Istilah mesra Muslim hanya sesuai digunakan oleh negara-negara bukan Islam.
Istilah mesra Muslim hanya sesuai digunakan oleh negara-negara bukan Islam.
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan istilah ‘destinasi mesra Muslim’ dalam mempromosikan negara tidak sesuai digunakan kerana Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, istilah berkenaan hanya sesuai digunakan oleh negara-negara bukan Islam.

“Memandangkan Malaysia adalah sebuah negara Islam, istilah 'mesra Muslim' amat tidak sesuai untuk menggambarkan negara kita yang sememangnya negara Islam.

“Istilah ini lebih sesuai untuk negara bukan Islam bagi tujuan menarik pelancong Islam dengan menawarkan kemudahan dan perkhidmatan khusus yang memenuhi keperluan agama mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bercadang mahu menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, langkah berkenaan diambil susulan persaingan destinasi pelancongan terutamanya pulau di negara jiran.

Mengulas lanjut, MATA memaklumkan pelabelan Malaysia sebagai mesra Muslim boleh menimbulkan salah faham.

“Adalah penting untuk memastikan bahawa terminologi yang digunakan tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pemain industri pelancongan, sama ada di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

“Istilah mesra Muslim mungkin menunjukkan bahawa Malaysia sedang membuat usaha tambahan untuk memenuhi keperluan pelancong Muslim seperti yang mungkin dilakukan oleh negara bukan Islam,” ujarnya.

MATA menegaskan, hal itu tidak berlaku di Malaysia kerana segala kemudahan dan amalan sudah tertanam dalam masyarakat dan budaya rakyat di negara ini.

Dalam pada itu, MATA turut menggalakkan pihak berkepentingan untuk menekankan warisan Islam Malaysia yang unik dan persekitaran semula jadi yang mesra untuk pelancong Muslim.

“Antaranya dengan mengetengahkan kekayaan sejarah Islam, seni bina, perayaan dan amalan harian Malaysia akan menawarkan pengalaman Islam yang tulen dan holistik untuk pelawat.

“Dengan mengelakkan penggunaan istilah mesra Muslim dan memfokuskan pada budaya Islam ia dapat memberikan gambaran jelas dan tepat tentang perkara yang boleh dijangkakan oleh pengembara Islam apabila melawat Malaysia,” kata kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!