Lelaki bertindak agresif, lolos sekatan jalan raya

JPJ Kuala Lumpur melaksanakan Ops HRAA 2024 bagi mengesan pesalah jalan raya di seluruh ibu kota Kuala Lumpur. Foto JPJ
JPJ Kuala Lumpur melaksanakan Ops HRAA 2024 bagi mengesan pesalah jalan raya di seluruh ibu kota Kuala Lumpur. Foto JPJ
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang penunggang motosikal sanggup mempertaruhkan nyawa dengan bertindak agresif bagi meloloskan diri daripada sekatan jalan raya dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata, individu tersebut dipercayai ada melakukan kesalahan jalan raya, seterusnya cuba melepaskan diri daripada diperiksa oleh pihak petugas.

Beliau berkata, tindakan sedemikian adalah berbahaya dan boleh memberi kemudaratan kepada anggota JPJ bertugas serta pengguna jalan raya yang lain, malah kepada penunggang itu sendiri.

Katanya, tindakan berbahaya penunggang motosikal terbabit bagaimanapun tidak menyebabkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

"Individu tersebut dipercayai cuba melarikan diri dengan melepasi sekatan jalan dilakukan, namun tindakan berbahaya itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan kepada anggota yang bertugas.

"Untuk itu saya ingin tegaskan, janganlah ada pihak pengguna jalan raya bertindak keterlaluan dan boleh memberi kemudaratan kepada diri dan orang lain.

JPJ WPKL melaksanakan Ops HRAA 2024 bagi mengesan pesalah jalan raya di seluruh ibu kota Kuala Lumpur. Foto: JPJ.
JPJ WPKL melaksanakan Ops HRAA 2024 bagi mengesan pesalah jalan raya di seluruh ibu kota Kuala Lumpur. Foto: JPJ.

"Kalau lakukan kesalahan, terima sahaja hukuman atau denda dikenakan, jangan sampai mengundang bahaya akibat perbuatan melulu dilakukan," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu diminta mengulas pelaksanaan Ops Hari Raya Aidil Adha (HRAA) 2024, Mohd Zaki berkata, selain memeriksa kesemua jenis kenderaan, pihaknya turut memberi tumpuan ke atas kesalahan yang dilakukan oleh pemandu warga asing (PEWA).

Jelasnya, kebanyakan PEWA yang diperiksa tidak mempunyai lesen memandu yang sah, lori yang dipandu mempunyai masalah teknikal serta tiada lesen memandu kenderaan barangan (GDL).

Dalam pada itu, Mohd Zaki berkata, sejumlah 86,076 buah kenderaan diperiksa sempena Ops HRAA sehingga Jumaat.

Kata beliau, dalam operasi khas Hari Raya Aidil Adha tersebut, pihaknya mengenakan notis saman berjumlah 10,924 di atas pelbagai kesalahan dilakukan.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 288 pelbagai kenderaan dikenakan tindakan sitaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!