Sultan Selangor berkenan menerima menghadap Hamidin

Sultan Sharafuddin Idris Shah.Gambar kecil: Hamidin
Sultan Sharafuddin Idris Shah.Gambar kecil: Hamidin
A
A
A

PERMOHONAN Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah mendapat perkenan baginda.

Hamidin berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani pada petang Jumaat.

“Saya telah mendapat panggilan telefon daripada Datuk Munir kira-kira jam 2.30 petang Jumaat, iaitu sehari selepas saya menghantar warkah memohon perkenan menghadap Tuanku Sultan Selangor.

“Tuanku Sultan Selangor telah menitahkan beliau (Datuk Munir) untuk menerima permohonan menghadap menerusi warkah yang saya utuskan ke Istana Bukit Kayangan, Shah Alam pada tengah hari Khamis lalu,” katanya.

Hamidin berkata, beliau turut dimaklumkan oleh Datuk Munir bahawa Tuanku Sultan Selangor akan berangkat ke Sarawak dan seterusnya mempunyai beberapa urusan rasmi lain sehingga ke Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H pada 7 Julai ini.

“Insya-ALLAH jika tiada aral melintang, berkemungkinan tarikh untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor hanya akan diadakan selepas 7 Julai depan, sekembalinya baginda berangkat pulang dari Sarawak dan selesai urusan serta majlis rasmi yang perlu dihadiri baginda,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa kecewa dan murka dengan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selepas ketidakhadiran kelab itu ke Perlawanan Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 10 Mei lalu.

Sultan Sharafuddin turut meluahkan rasa kecewa dan dukacita terhadap Hamidin selaku Presiden FAM yang tidak bersuara dalam perkara tersebut apatah lagi beliau merupakan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dari tahun 1995 hingga 2013.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!