Lebih 27,000 ahli Bersatu Perak layak mengundi
IPOH - Lebih 27,000 daripada 28,548 ahli Bersatu di Perak layak mengundi pada pemilihan di peringkat bahagian yang dijadual bermula 15 Februari depan.
Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, menurut data daripada Bersatu Pusat, jumlah ahli yang layak mengundi Perak itu berdasarkan ahli yang telah membayar yuran dan jumlah tersebut dijangka bertambah.
Katanya, semua ahli yang layak akan mengundi pada mesyuarat cawangan untuk memilih jawatankuasa pimpinan di peringkat cawangan dan bahagian.
"Semua ahli layak mengundi walaupun baru sehari mendaftar diri menjadi ahli asalkan mereka membayar yuran keahlian. Pengundian bagi jawatankuasa cawangan akan dibuat secara undi tangan manakala di peringkat bahagian akan dibuat secara undi sulit ketika mesyuarat cawangan itu.
"Di Perak, kita ada 277 cawangan yang akan bermesyuarat. Cawangan-cawangan ini akan mengadakan mesyuarat seawal 15 Februari seperti ditetapkan dan mesyuarat terakhir akan berlangsung pada 8 Mac," katanya kepada pemberita ketika sidang media di Pejabat Bersatu Perak Bandar Meru Raya di sini hari ini.
Hadir sama pada sidang media itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Bersatu Perak, Saiful Adli Mohd Arshad dan Setiausaha Kerja Bersatu Perak, Muhammad Fadhli Ismail.
Sementara itu Zainol Fadzi berkata, untuk pemilihan kali ini, sebanyak 33 jawatan di setiap bahagian termasuk Armada dan Srikandi dipertandingkan.
Katanya, calon-calon yang ingin menawarkan diri bertanding pada pemilihan boleh menghantar borang pada hari penamaan calon 26 Januari ini di pejabat bahagian masing-masing.
"Parti menerima semua pencalonan asalkan memenuhi syarat ditetapkan iaitu menjadi ahli sekurang-kurangnya dua tahun, tidak muflis dan membayar yuran. Semua yang memenuhi syarat layak bertanding.
"Setiap pencalonan mesti disertakan penyokong dan pencadang. Wakil calon juga dibenar untuk menghantar borang pada 26 Februari itu bermula jam 9 pagi hingga 2 petang," katanya.
Dalam pada itu, Zainol Fadzi mengesahkan bertanding mempertahankan jawatan Ketua Bersatu Bahagian Pasir Salak pada pemilihan kali ini.
Menurutnya, pemilihan kali ini merupakan peluang kepada ahli menentukan kepimpinan di peringkat bahagian yang mana sebelum ini ketua-ketua bahagian dipilih secara lantikan.
Zainol Fadzi dalam pada itu secara peribadi mahu lebih ramai bertanding untuk merebut jawatan ketua bahagian bagi mewujudkan suasana sihat di dalam pemilihan parti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!