TPPS selesaikan 51,233 kes tuntutan perumahan, strata

Kor Ming
Kor Ming
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata (TPPS) berjaya menyelesaikan 51,233 kes melibatkan tuntutan perumahan serta strata termasuk yang tertunggak bagi tempoh 2018 hingga 2023.

Menterinya, Nga Kor Ming berkata, berdasarkan jumlah tersebut sebanyak 9,081 adalah kes Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR), manakala 42,152 pula merupakan kes Tribunal Pengurusan Strata (TPS).

"Bagi tempoh 2018 hingga 2023, sebanyak 48,839 kes TPPS didaftarkan dengan jumlah kes berjaya diselesaikan sebanyak 51,233. Ini adalah termasuk yang tertunggak dari tahun sebelum ini.

"Tahun 2023 mencatatkan jumlah tertinggi penyelesaian kes iaitu sebanyak 11,361.

Bagi Januari sehingga Mei 2024, jumlah pendaftaran kes TTPR adalah sebanyak 791 dan 943 kes berjaya diselesaikan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut kenyataan tersebut, Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan dilaksanakan bagi meraikan 28 orang presiden baharu bagi TTPR dan TPS bertempat di KPKT, Putrajaya pada Jumaat.

Pelantikan tersebut menjadikan jumlah Presiden TPPS adalah seramai 43 orang iaitu 14 Presiden TTPR dan 29 Presiden TPS.

Mengulas lanjut Kor Ming berkata, bagi TPS pula pendaftaran kes adalah 4,180 dan berjaya menyelesaikan sebanyak 3,927 kes.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, daripada jumlah tersebut pendaftaran kes TPS adalah sebanyak 2,941 yang didaftarkan secara dalam talian melalui sistem e-TPS berbanding 1,239 yang didaftarkan di kaunter.

"KPKT melalui TPPS sentiasa komited dan memberi perhatian sepenuhnya terhadap hal ehwal pengurusan dan penyelesaian isu strata.

"Ini adalah selaras dengan hasrat kementerian untuk memberikan perkhidmatan terbaik dan penyediaan perumahan berkualiti kepada rakyat," katanya.

Mengulas lanjut beliau memaklumkan, TPPS terdiri daripada dua Tribunal iaitu Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan TPS.

Jelasnya, ia berfungsi sebagai forum alternatif untuk menyelesaikan pertikaian antara pembeli dengan pemaju perumahan dan hal-hal berkaitan pengurusan strata secara mudah, murah serta cepat.

Menurut Kor Ming, kini pemfailan kes TPS boleh dibuat secara dalam talian iaitu melalui pautan https://etps.kpkt.gov.my/portal.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!