AUG 2024: Kasih ibu barakan semangat Amer Daniel

Amer Daniel meraikan kejayaan merangkul pingat emas AUG 2024 bersama ibunya.
Amer Daniel meraikan kejayaan merangkul pingat emas AUG 2024 bersama ibunya.
A
A
A

"SEMUANYA bermula apabila saya mahu dia pelajari martial arts...."

Itu respon Yeoh Suat Khim, ibu kepada Amer Daniel Abdul Majeed ketika bercerita penglibatan awal pemenang pingat emas acara judo kategori Bawah 81 kilogram (kg) Sukan Universiti ASEAN (AUG) Surabaya Malang 2024.

Penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) kelahiran Pulau Pinang itu sebelum ini melebarkan rentak emas skuad judo apabila menjinakkan wakil Indonesia, Yuta Gladius Taslim dalam perlawanan akhir.

"Kawan saya cadangankan supaya dia masuk kelas seni mempertahankan diri. Penglibatan dia mulanya bagi tujuan meningkatkan tahap kekuatan serta kecergasan dan judo merupakan pilihan terbaik bagi tujuan itu.

"Sejak dari situ dia melalui proses pembentukan hingga menjadi atlet seperti sekarang," katanya yang memaklumkan keterlibatan anaknya sejak berusia lima tahun.

Sementara itu, Amer Daniel yang merupakan pemenang pingat gangsa Sukan Komanwel Birmingham 2022 bakal menerima insentif RM3,000 mahu memberikan sebahagian wang diterima kepada ibunya sebagai tanda terima kasih kerana sudah banyak berkorban termasuk sentiasa hadir dalam setiap kejohanan disertai.

"Apabila dapat duit itu nanti, saya mahu beri kepada ibu sebagai duit poket kerana ibu sudah banyak bantu saya. Selain itu, saya juga mahu belanja jurulatih untuk menggembirakan mereka.

"Duit selebihnya, saya akan gunakan untuk pembelajaran kerana bahan-bahan akademik sekarang tidak murah. Sejujurnya, RM3,000 yang diterima sangat membantu saya," kata atlet tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, atlet berusia 20 tahun itu menyifatkan kemenangan tersebut adalah hasil keberkesanan percaturan bersama jurulatih.

"Sejujurnya rasa terharu dapat raih pingat emas buat pasukan judo khasnya buat kontinjen negara.

"Saya gembira percaturan bersama jurulatih memberikan impak positif kerana misi sejak awal untuk AUG 2024 adalah pingat emas.

"Biarpun tidak pernah berdepan dia (Yuta Gladius Taslim), namun saya pernah menyaksikan dia bertanding kategori lebih rendah," kata Amer Daniel.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!