11 tukun tiruan dilabuhkan di perairan Pulau Tioman

Abdullah melihat tukun dilabuhkan di perairan Pulau Tioman. Foto Jabatan Perikanan Pahang
Abdullah melihat tukun dilabuhkan di perairan Pulau Tioman. Foto Jabatan Perikanan Pahang
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 11 tukun tiruan jenis kuboid juvenil dilabuhkan di perairan laut Kampung Juara dan Pulau Seri Buat dalam kawasan Taman Laut Pulau Tioman, Rompin.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, setiap satu tukun dilabuhkan seberat 18 tan dan ia membabitkan kos sebanyak RM366,580.

Menurutnya, penggunaan tukun tiruan sebagai penghalang aktiviti pukat tunda di kawasan perairan terbabit sekali gus dapat memulihara tempat pembiakan atau habitat hidup laut.

"Kita pernah labuhkan tukun tiruan di perairan Kampung Mukut, Pulau Tioman sebelum ini, termasuk menjadikan tiga bot nelayan asing sebagai tukun di kawasan di Kampung Tekek, Pulau Tioman," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Program melabuhkan tukun diadakan selama dua hari pada 25 dan 26 Jun lalu di perairan tersebut.

Abdullah menjelaskan, pihaknya telah membelanjakan lebih RM1.8 juta bagi pembangunan tukun tiruan di perairan negeri sejak tahun 2019.

Salah satu daripada 11 tukun tiruan dilabuhkan di perairan laut Kampung Juara dan Pulau Seri Buat dalam kawasan Taman Laut Pulau Tioman, Rompin. Foto Jabatan Perikanan Pahang
Salah satu daripada 11 tukun tiruan dilabuhkan di perairan laut Kampung Juara dan Pulau Seri Buat dalam kawasan Taman Laut Pulau Tioman, Rompin. Foto Jabatan Perikanan Pahang

"Tukun dilabuhkan di perairan Taman Laut Pulau Tioman dan Kuala Pontian, Rompin pada 2019 dianggarkan bernilai RM493,000 seterusnya perairan Nenasi, Pekan (2020) sebanyak RM376,160.

Artikel Berkaitan:

"Pada tahun 2021, tukun dilabuhkan di perairan Cherok Paloh, Kuantan (RM296,100) dan Taman Laut Pulau Tulai, Rompin pada 2022 (RM251,250) dan tahun ini di Taman Laut Tioman Dan Seri Buat," jelasnya.

Beliau berkata, program melabuhkan tukun tiruan antara usaha di bawah Dasar Keterjaminan Makanan dilakukan Jabatan Perikanan Malaysia untuk memulihara tempat pembiakan dan habitat ikan serta memberi perlindungan kepada sumber perikanan.

Tegasnya, ia secara tidak langsung dapat meningkatkan biodiversiti flora dan fauna di perairan Taman Laut Pulau Tioman yang terkenal sebagai destinasi pelancong bertaraf antarabangsa.

Abdullah menambah, kajian dilakukan di perairan Kampung Nenasi, Pekan sebelum ini mendapati terdapat 26 spesies ikan komersial dan 28 jenis batu karang hidup dan membiak di kawasan tukun.

"Projek tukun tiruan yang diusahakan pada tahun ini dijangka memberi penambahan stok sumber ikan di perairan Taman Laut Kampung Juara dan Pulau Seri Buat.

"Limpahan sumber akan keluar daripada Taman Laut secara berterusan memasuki zon tangkapan dapat memberi tambahan pendapatan kepada kira-kira 2,058 nelayan zon pantai negeri ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!