Hotel bajet sedia tingkat penawaran penginapan mesra Muslim di Malaysia

Pusat Pelancongan Islam (ITC) menyediakan latihan komprehensif mengenai Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) kepada ahli MyBHA.
Pusat Pelancongan Islam (ITC) menyediakan latihan komprehensif mengenai Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) kepada ahli MyBHA.
A
A
A

HOTEL bajet bersedia untuk meningkatkan penawaran penginapan mesra Muslim di seluruh negara bagi memenuhi keperluan unik pengembara sekali gus memupuk persekitaran pelancongan yang lebih inklusif dan mesra di Malaysia.

Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA) dalam satu kenyataan berkata, dalam usaha mempertingkatkan penawaran itu, Pusat Pelancongan Islam (ITC) menyediakan latihan komprehensif mengenai Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) kepada ahli MyBHA.

Menurutnya, kerjasama antara ITC dan MyBHA akan memberi manfaat kepada 2,700 hotel bajet dan perniagaan di seluruh Malaysia.

"Sesi latihan itu merangkumi pelbagai aspek layanan mesra Muslim termasuk perkhidmatan makanan halal, kemudahan solat dan memenuhi keperluan tetamu Muslim.

“Inisiatif ini bertujuan untuk membimbing ahli MyBHA dalam perjalanan mereka untuk mendapatkan Pelancongan Mesra Muslim dan Jaminan dan Pengiktirafan Hospitaliti (MFAR) daripada ITC," kata kenyataan itu pada Jumaat.

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bercadang mahu menjadikan Langkawi sebagai destinasi pilihan Muslim.

Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, langkah berkenaan diambil susulan persaingan destinasi pelancongan terutamanya pulau di negara jiran.

Sementara itu, Ketua Pengarah ITC, Nizran Noordin memaklumkan, Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani bersama MyBHA itu penting dalam mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan mesra Muslim terkemuka.

Artikel Berkaitan:

Jelas Nizran, dengan melengkapkan ahli MyBHA dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan melalui latihan MFTH, pihaknya berhasrat memastikan pengembara Muslim berasa selesa sepanjang penginapan di Malaysia.

Dalam pada itu, Presiden MyBHA, Dr Sri Ganesh Michiel berkata, persatuannya berdedikasi untuk meningkatkan kualiti dan keterangkuman perkhidmatan penginapan di Malaysia.

“MoU dengan ITC ini bukan sahaja memberi ahli kami peluang untuk meningkatkan taraf mereka untuk kekal relevan dalam pasaran tetapi sejajar dengan matlamat mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk pengembara Muslim,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!