Kerajaan umum tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung

Tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung bermula 1 Julai hingga 21 Disember depan.
Tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna di Semenanjung bermula 1 Julai hingga 21 Disember depan.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan telah bersetuju supaya tiada kenaikan tarif elektrik kepada semua pengguna elektrik di Semenanjung bermula 1 Julai hingga 31 Disember ini.

Selain itu, pengguna-pengguna komersial dan industri akan mengalami penurunan kadar surcaj Ketidakseimbangan Pelepasan Kos Bahan Api (ICPT) sebanyak satu sen/kWj bagi tempoh yang sama.

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, kadar surcaj juga turun sebanyak satu sen/kWj kepada kategori lampu jalan (tarif G dan G1) di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT), bagi membolehkan mereka menyediakan perkhidmatan pencahayaan yang menyeluruh di kawasan awam seperti lampu jalan, taman perumahan dan kawasan rekreasi.

“Secara keseluruhannya, jumlah subsidi elektrik secara bersasar bagi tempoh tersebut akan dibiayai kerajaan sebanyak RM2.192 bilion.

“Melalui keputusan ini, kerajaan komited untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus terjamin dengan memastikan pengguna domestik terus dilindungi melalui pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

No Image Caption

Terdahulu, satu Sesi Taklimat Berkenaan Pelarasan Tarif Elektrik di Semenanjung diadakan di Menara PETRA, di sini.

Kerajaan juga jelasnya, berharap agar penurunan kadar surcaj ICPT kepada kategori ini dapat terus mengekalkan kestabilan harga barangan di pasaran, di samping menyokong usaha kerajaan untuk menggalakkan pelaburan di Malaysia, seterusnya dapat meningkatkan peluang pekerjaan kepada rakyat dan merancakkan ekonomi negara.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian percaya bahawa pelaksanaan subsidi elektrik secara bersasar merupakan pendekatan yang terbaik pada masa ini supaya dapat mengurangkan komitmen subsidi kerajaan.

“Peruntukan tersebut sebaliknya akan disalurkan dalam pelbagai bentuk bantuan lain kepada rakyat serta membolehkan kerajaan terus menambah baik infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan menyokong sektor pendidikan negara,” jelasnya.

Selain itu, kerajaan terus kekal komited untuk memastikan kebajikan golongan berpendapatan rendah terpelihara melalui Program Rebat Elektrik RM40 untuk pengguna elektrik dalam kategori Miskin Tegar yang berdaftar dan disahkan dalam Sistem e-Kasih di seluruh Malaysia pada tahun 2024 dengan peruntukan sebanyak RM55 juta.

Pengguna yang layak boleh membuat semakan status kelayakan masing-masing di laman sesawang https://semakanrebat.petra.gov.my/apps/public/index.php atau hadir ke kedai utiliti yang berhampiran.

Tambah PETRA, walaupun tiada kenaikan tarif elektrik di Semenanjung bagi tempoh Julai hingga Disember 2024, pengguna disarankan untuk sentiasa menggunakan tenaga elektrik secara berhemah dan mengamalkan amalan cekap tenaga.

“Di bawah Program SAVE 4.0, pengguna boleh menerima e-rebat sehingga RM400 bagi pembelian peti sejuk dan penyaman udara cekap tenaga yang mendapat penarafan empat atau lima bintang oleh Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Pengguna juga digalakkan untuk menyertai inisiatif pemasangan panel solar fotovoltaik (PV) di bangunan kediaman masing-masing di bawah Program Net Energy Metering (NEM).

“Melalui program baharu Solar for Rakyat Incentive Scheme (SolaRIS), pengguna baharu Program NEM Rakyat yang mengemukakan permohonan kepada Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) pada dan selepas 1 April 2024 akan menerima rebat RM1,000/kwAC sehingga maksimum RM4,000,” jelasnya.

Sementara itu katanya, pengguna boleh melihat jumlah subsidi elektrik yang diberikan oleh kerajaan dalam bil elektrik bulanan masing-masing.

Kerajaan berharap agar pemberian subsidi elektrik ini dapat membantu meringankan kos sara hidup rakyat dan sekali gus memastikan pembangunan ekonomi negara yang berterusan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!