PM mahu aspek budaya diterapkan dalam projek kereta kabel Bukit Bendera
GEORGE TOWN - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan pemaju Projek Kereta Kabel Bukit Bendera menitikberatkan aspek budaya dalam pembinaan projek yang bakal siap pada 2026 nanti.
Menurutnya, dalam usaha mempromosikan Bukit Bendera dengan bentuk berteknologi moden, projek berkenaan perlu dijadikan projek mesra alam sekitar supaya ada kelainan dan keindahan dalam bidang senibinanya.
Beliau berkata, Bukit Bendera agak unik dan perancangan projek berkenaan perlu mengambil kira aspek persekitaran.
"Cuma saya nak tekankan sedikit tentang budaya supaya ada keindahan dan kelainan dalam bidang senibina. Aspek budaya yang diserasikan dengan kedudukan Pulau Pinang.
"Bagi saya, bila bicara tentang bangunan baru ini, saya sangat terkesan dengan peringatan Mark Twain tentang keperluan binaan bangunan yang mengambil kira aspek budaya.
"Soal budaya, supaya jangan gersang budaya kerana kota indah itu dikenali bukan sahaja kota yang disebut hutan konkrit, yang kita lihat berkembang di mana-mana bandar di negara kita, tetapi mesti 'culturaly vibrant' dan mesra alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Projek Kereta Kabel Bukit Bendera di Taman Botani di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Hartasuma, Tan Sri Ravindran Menon.
Anwar menambah, aspek budaya perlu ada dalam projek berkenaan untuk diserasikan dengan budaya Pulau Pinang.
"Saya bukan arkitek tetapi Tan Sri (Ravindran Menon) boleh fikir untuk ubah suai sedikit supaya kita nampak keindahan kerana Bukit Bendera adalah unik dan mempunyai sejarah, bukan sahaja untuk Pulau Pinang dan Malaysia, tetapi di rantau ini.
"Kalau Tan Sri lihat ramai orang Thailand, orang dulu banyak menumpu pendidikan di sini, Bukit Bendera itu dianggap satu yang menarik dan destinasi pelancongan yang penting di utara Semenanjung Tanah Melayu.
"Saya mewakili sosok pemikiran lama, selain daripada kereta kabel yang agak penting bagi kita, untuk generasi saya tetapi mesti ada ruang serta galakan supaya anak-anak muda terus menjadikan satu budaya riadah untuk naik melalui jalan lereng bukit (pendakian) kerana ia sangat popular," katanya.
Anwar turut berharap syarikat pelaksana projek, Hartasuma Sdn Bhd mengambil kira tentang keseluruhan skop tersebut dalam pembinaan projek kereta kabel berkenaan.
Sebelum ini, Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PBBPP) mengumumkan pusat peranginan Bukit Bendera bakal menikmati perkhidmatan kereta kabel yang dijangka siap dalam suku ketiga 2026.
Projek Kereta Kabel Bukit Bendera itu bernilai RM245 juta akan dilaksanakan oleh syarikat Hartasuma Sdn Bhd.
Kereta kabel tersebut mempunyai 2.73 kilometer panjang laluan dengan tiga buah stesen iaitu stesen taman, gelung belokan dan stesen bukit.
Jajaran kereta kabel itu akan bermula dari Stesen Taman Ekonomi yang sedia ada di Taman Botani Pulau Pinang dan berakhir di puncak Bukit Bendera, di belakang Balai Polis Bukit Bendera.
Ia akan dilengkapi dengan 50 gondola lapan tempat duduk, dengan masa perjalanan kurang daripada 10 minit.
Semua infrastruktur utama dalam pembangunan itu dibina berpandukan kepada pensijilan Indeks Bangunan Hijau (GBI) tahap Emas.
Projek kereta kabel itu juga akan menyelesaikan masalah trafik yang menjejaskan kawasan sekitar Taman Botani Pulau Pinang pada ketika ini, yang mana barisan kenderaan mencecah hingga ke jalan utama, menyebabkan masalah akses yang serius.
Selain itu, projek itu akan mempertingkatkan dan mencantikkan lagi kawasan Taman Botani Pulau Pinang, memberi manfaat kepada penduduk tempatan, para pengunjung dengan infrastruktur serta landskap yang lebih baik dan kawasan hijau untuk rekreasi.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!